Tekan butang dan budaya politik ugut
RASANYA agak terlalu beremosi apabila seorang pemimpin yang dihormati secara terbuka mengeluarkan kenyataan bahawa dengan hanya menekan butang dia boleh menjatuhkan sebuah kerajaan dan pilihan raya perlu diadakan. Selain beremosi kenyataan seperti itu juga ada elemen angkuh dan berbaur ugutan.
Memang seseorang yang digelar pemimpin sama ada pemimpin negara, pemimpin parti politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lainnya mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu perkara.
Bagi pemimpin politik dan kerajaan, kuasa yang ada di tangan sudah tentu lebih besar kerana mereka yang menentukan siapa yang bakal mentadbir negeri atau negara dan siapa yang bakal dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya.
Cuma hakikat yang perlu diingat, jadi pemimpin bukan bermakna kita maksum. Kita tidak terlepas dari kekhilafan termasuk pemimpin yang datang daripada parti yang dikaitkan dengan Islam.
Sudah tentu dengan segala kelemahan yang ada, setiap pemimpin tidak akan terlepas daripada kritikan sama ada kawan atau lawan terutamanya rakyat. Ada kritikan dilakukan secara terbuka yang dipetik dan disiarkan oleh media. Akibatnya, media turut menjadi mangsa. Diugut dan dihalang daripada menyertai mana-mana acara anjuran mereka dan kerajaan mereka. Perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.
Setiap pemimpin perlu mengakui kekuatan dan kelemahan mereka. Lagi pula, Pilihan Raya Umum Ke-14 telah mempertontonkan kepada kita bahawa sebuah kerajaan yang dianggap kuat yang berusia lebih setengah abad, yang menguasai naratif di semua platform media boleh juga tumbang. Sebahagian daripada elemen yang menyumbang kepada rebahnya kerajaan tersebut ialah sifat angkuh, terlalu yakin dengan sendiri selain mengugut rakyat dengan momokan-momokan tertentu.
Budaya ugut mengugut juga membawa kepada peralihan kerajaan di Malaysia yang bersilih ganti. Dalam tempoh tiga tahun kita sudah ada tiga perdana menteri. Perak, Johor dan Melaka dua kali bertukar kerajaan. Kerana budaya ugut mengugut dan jatuh menjatuhkan ini juga dua Pilihan Raya Negeri terpaksa diadakan selepas PRU14 iaitu PRN Sabah dan Melaka. Semua ini berlaku apabila pemimpin yang tidak berpuas hati bertindak mengugut hingga sanggup lompat parti dan menumbangkan kerajaan.
Yang rugi adalah rakyat. Termasuk terpaksa menanggung segala masalah seperti peningkatan kes Covid-19 selepas PRN Sabah.
Hentikanlah budaya politik ugut ini. Terimalah kekalahan dan keputusan rakyat dengan hari terbuka. Berlapang dadalah dengan apa juga kritikan dan teguran yang dilemparkan. Jangan suka mengugut sembarangan kerana itu merendahkan martabat dan integriti.
Seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib: “Lidah orang
yang berakal berada di belakang hatinya, sedangkan hati orang bodoh
berada di belakang lidahnya.”
Jadilah seorang pemimpin yang berakal.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.