https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguh lagi, kata menter


PETALING JAYA: Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Isnin ini, sebaliknya ia dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.

“Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya dipetik The Star.

Kenyataan Wan Junaidi itu mengesahkan laporan FMT terdahulu yang memetik sumber sebagai berkata, Kabinet meminta semakan ke atas RUU itu, lima hari sebelum sidang khas itu diadakan.

Sumber berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, di mana semua ahli Parlimen dan senator dipanggil.

Katanya, pembentangan pindaan Perlembagaan berkaitan RUU itu akan berlangsung pada Isnin ini untuk memastikan akta anti lompat parti tidak akan melanggar Perlembagaan.

Wan Junaidi berkata, sidang khas Dewan Rakyat tetap diteruskan pada Isnin ini dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan kelak.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat.

Keputusan hari ini bermakna RUU itu akan ditangguhkan buat kali kedua.

RUU itu, pada asalnya dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat bagi tahun ini.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.