https://critoxium.com/shop/

Terkini

RUU Antilompat Parti tidak dibentang pada Isnin - Laporan


KUALA LUMPUR:
Kerajaan dilaporkan tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti pada Isnin ini, sebaliknya membentangkan pindaan Perlembagaan berkaitan RUU tersebut.

Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan satu mesyuarat pada Ahad.
 
Laporan yang memetik sumber itu memaklumkan semua Ahli Parlimen dan senator akan dipanggil ke mesyuarat tersebut. 
 
Pembentangan pindaan Perlembagaan berhubung RUU Antilompat Parti akan dilakukan pada Isnin bagi memastikan apabila RUU tersebut dibentangkan ia tidak akan melanggar Perlembagaan.
 
“Akta itu sendiri tidak akan dibentangkan pada Isnin. Apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, akta itu tidak lagi memerlukan majoriti dua pertiga," kata sumber tersebut kepada FMT.
 
FMT juga melaporkan, kerajaan sedang menyelesaikan beberapa isu termasuk apa yang ditakrifkan sebagai lompat parti.
 
“Ini termasuk sama ada wakil rakyat yang menang sebagai calon Bebas akan lompat parti jika dia menyertai parti politik atau jika Ahli Parlimen yang menyertai parti lain selepas dipecat oleh partinya,” kata sumber itu lagi.
 
Seorang menteri persekutuan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, kerajaan mahu menyelesaikan perkara penting seperti definisi “lompat”.
 
Seorang lagi menteri enggan dikenali berkata, kerajaan tidak bercadang menangguhkan RUU itu.
Tetapi pindaan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan memperkenalkan RUU antilompat parti perlu dilakukan terlebih dahulu, katanya.
 
“Kita ke arah itu. Orang ramai asyik bercakap mengenai RUU antilompat parti sehingga mereka lupa bahawa kita harus mulakan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dahulu.
 
“Bila dah lulus kita boleh perkenalkan RUU Antilompat Parti,” katanya.
 
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke meminta semua parti politik menyatakan pendirian sama ada Ahli Parlimen mereka akan menyokong RUU Antilompat Parti di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.