https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tentera Russia didakwa guna senjata kimia


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa mempunyai maklumat 'boleh dipercayai' bahawa Russia menggunakan senjata kimia dalam serangannya untuk mengepung bandar Mariupol.

Negara Barat dan Kyiv sudah memberi amaran kepada Moscow sejak pencerobohannya pada 24 Februari lalu terhadap sebarang penggunaan senjata kimia.

Kebimbangan itu bagaimanapun mula meningkat minggu ini, selepas timbul laporan bahawa senjata sedemikian sudah mula digunakan.

Semalam, Pemerhati dari Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) memaklumkan bahawa pihaknya bimbang mengenai dakwaan penggunaan senjata kimia di Mariupol, iaitu bandar pelabuhan strategik yang dikepung oleh tentera Russia di timur Ukraine serta menjadi lokasi pertempuran hebat.

OPCW yang dianggotai oleh Russia dan Ukraine, merujuk kepada tuduhan dilemparkan oleh kedua-dua pihak mengenai penyalahgunaan kimia toksik.

Batalion Azov Ukraine yang terbabit dalam pertahanan di Mariupol, berkata dron milik tentera Russia dipercayai menjatuhkan bahan beracun pada tentera dan orang awam di bandar itu.

Batalion itu mendakwa orang ramai mengalami kegagalan pernafasan dan masalah saraf.

"Tiga individu mempunyai tanda jelas keracunan akibat bahan kimia yang digunakan dalam peperangan.

Ketua Batalion Azov, Andrei Biletsky, dalam mesej video menerusi Telegram mendakwa Russia menggunakan senjata kimia ketika serangan ke atas loji logam Azaovstal yang terbesar di bandar itu.

Dakwaan itu bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana sumber bebas, bagaimanapun rakyat Ukraine, Britain dan AS berkata, pihak mereka sedang cuba untuk mengesahkan perkara berkenaan.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata beliau bukan dalam posisi untuk mengesahkan dakwaan itu.

Bagaimanapun, katanya, mereka mempunyai maklumat bahawa tentera Rusia berkemungkinan menggunakan pelbagai campuran ejen pengawal, termasuk gas pemedih mata yang dicampur dengan ejen kimia dengan simptom lebih kuat untuk melemahkan dan melumpuhkan pejuang Ukraine dan orang awam, dalam usaha agresifnya menakluk Mariupol.

Kami berkongsi maklumat itu dengan Ukraine…dan kami berhubung terus dengan rakan kongsi untuk cuma menentukan apa sebenarnya yang terjadi, ini adalah satu kebimbangan serius.

Mariupol sudah dikepung selama beberapa minggu lalu dan tentera Ukraine memberi amaran terhadap kejatuhannya yang bakal berlaku.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, berkata pihaknya sedia membantu dalam siasatan itu.

Katanya, pegawai AS juga sudah berhubung secara terus dengan Ukraine yang mengumpulkan fakta dan bukti.

"Kami bersedia sekiranya kita dapat membantu dalam siasatan," katanya yang memaklumkan kebimbangan AS adalah berdasarkan maklumat terbaru yang diperoleh selepas timbul laporan semalam. - AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.