https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Bukan PAS, tapi UMNO sepatutnya bubar' - Tuan Ibrahim


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam supaya PAS dibubarkan, tidak akan menjadi kenyataan.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu sebaliknya berkata, UMNO yang ditegaskan Ahmad sudah membawa wadah perjuangan Islam susulan pindaan perlembagaan parti itu pada 2019, sepatutnya dibubarkan berikutan dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS.

"Jika benar ada cadangan seperti itu, eloklah UMNO dibubarkan kerana dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS, jika asas itu yang UMNO cadangkan, tetapi ia (bubar PAS) tentunya tidak akan menjadi kenyataan.

"Kita perlu hormati hak parti politik untuk bergerak dan terlibat dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia," katanya kepada BH, hari ini.

Tuan Ibrahim menegaskan, apa yang paling penting pada masa ini ialah memperkukuhkan kerjasama politik antara satu sama lain.

Semalam, Ahmad dilaporkan berkata, UMNO sudah menjadi parti politik yang turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama.

Pada Wacana Aspirasi UMNO - 'Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran', Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, parti berkenaan meminda perlembagaan pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

"Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan. Baru-baru ini mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan UMNO," katanya lagi.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.