https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu ‘khemah besar’ jadi halangan Anwar dan Rafizi, kata penganalisis

 


PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan bakal timbalannya, Rafizi Ramli mesti mencapai persetujuan dalam pendekatan “khemah besar” untuk membolehkan pembangkang berpeluang merampas semula Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

“Strategi ‘khemah besar’ akan menjadi batu penghalang besar dalam kerjasama Anwar dan Rafizi. Kedua-duanya mesti membuka mata dan saling bekerjasama,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara

Istilah “khemah besar” digunakan untuk menggambarkan keutamaan Anwar dalam menyatukan semua parti pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional pada PRU15.

Namun Rafizi pada April lalu menentang cadangan itu. Katanya, Langkah Sheraton pada Mac 2020 menunjukkan gabungan itu boleh dikhianati oleh parti komponen seperti yang dilakukan oleh Bersatu.

Azmi berkata, Rafizi tidak boleh bersikap “idealistik” dalam usahanya meraih sokongan parti pembangkang lain memandangkan “PKR memerlukan semua bantuan yang boleh diperolehi”.

“PKR sinonim dengan Pakatan Harapan (PH) dan PH pula sinonim dengan pembangkang secara keseluruhannya. Tanpa PKR, pembangkang tidak bermakna.”

Azmi berkata, jika dua pemimpin tertinggi PKR itu mampu mengetepikan perbezaan mereka berhubung pendekatan “khemah besar”, maka isu lain yang berbangkit juga boleh diselesaikan dengan mudah.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kurang optimis dengan kemungkinan dua pemimpin itu bekerjasama secara baik.

Menurutnya, Rafizi perlu “berhati-hati dengan potensi Anwar bertindak licik” dalam menghapuskan sesiapa sahaja yang mampu mencabar kedudukannya sebagai presiden parti.

“Rafizi pula terlalu lantang membangkitkan kekurangan tanpa rasa hormat dan ini mungkin mengguris perasaan Anwar,” katanya.

Bagaimanapun, Oh tidak melihat pertelingkahan antara dua pemimpin itu boleh memecahbelahkan sokongan dalam parti kerana Rafizi akan mengalah.

“Rafizi menunjukkan beliau tidak kisah untuk tidak menonjolkan diri atau memasuki dunia korporat sekiranya keadaan tidak memihak kepadanya,” katanya.

Seorang lagi pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang memenangi satu daripada empat jawatan naib presiden PKR berkata, pemilihan parti menunjukkan ahli PKR menolak strategi “khemah besar” dan “pakatan politik pintas” dengan pihak yang “berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum”.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.