https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keputusan pemilihan PKR tak bererti akar umbi hilang keyakinan terhadap Anwar, kata penganalisis

 


PETALING JAYA: Keputusan pemilihan PKR tidak bererti akar umbi hilang keyakinan terhadap Anwar Ibrahim, sebaliknya ahlinya mengharapkan Rafizi Ramli membawa perubahan asas, kata penganalisis.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kemenangan Rafizi dan mereka yang bersekutu rapat dengannya menunjukkan akar umbi mahukan transformasi radikal dalam parti dengan harapan untuk meningkatkan peluang kemenangan ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Keputusan awal pemilihan PKR pada Ahad menunjukkan kemenangan Rafizi dan sekutu rapatnya seperti Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, mereka yang dilihat lebih rapat dengan Anwar seperti Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution gagal meraih kemenangan.

Chin berkata, keputusan itu menunjukkan parti berkenaan berusaha untuk kekal kompetititf dalam PRU15.

“Mereka memandang kepada Rafizi untuk melakukan transformasi parti secara radikal supaya peluang kemenangan lebih tinggi pada PRU15,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi penganalisis, Jeniri Amir turut berpendapat bahawa akar umbi PKR yakin dengan keupayaan Rafizi sebagai pemimpin tetapi menambah, ahli parti kurang keyakinan terhadap Anwar.

“Mereka mahu parti itu bukan sekadar mengenai Anwar kerana beliau boleh dianggap hampir melewati zaman kegemilangannya. Jadi mereka memerlukan seseorang yang mampu mengisi tempatnya apabila beliau meninggalkan arena politik,” kata Jeniri.

Beliau menggesa Anwar dan kepimpinan tertinggi PKR supaya lebih terbuka untuk menerima strategi serta pandangan yang disuarakan pemimpin baharu dipilih.

“Anwar tahu bagaimana untuk menterjemah hasil pemilihan ini. Beliau tahu PKR memerlukan pembaharuan bermakna dan asas untuk membolehkan parti ini mara,” katanya susulan keputusan empat pilihan raya negeri (termasuk Sarawak), yang dilihat tidak memihak kepada PKR.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.