https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kalaulah Umno turuti apa Onn Jaafar mahu


Oleh Mohsin Abdullah 

Kita tahu Onn Jaafar adalah pengasas Umno-parti politik nasionalis Melayu ditubuhkan pada 1946. Kita juga tahu Allahyarham letak jawatan sebagai presiden Umno dan terus keluar daripada parti pada 1951.

Kita tahu sebabnya. Onn kecewa dengan dasar perkauman Umno (yang menitik berat hanya orang Melayu dan bukan semua bangsa di tanah air).

Kita tahu Onn telah mencadangkan Umno membuka keahliannya kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum. Lalu beliau mahu nama Umno ditukar menjadi Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu. Lebih tepat tukar daripada United Malays National Organisation kepada United Malayan National Organisation.

Kita tahu Umno menentang cadangan itu. Mungkin ia punya sebab tertentu yang munasabah atau relevan buat waktu itu. Wallahu a’lam. Hakikatnya kita tahu Umno menolak cadangan Onn. Kecewa beliau melepaskan jawatan presiden Umno dan keluar parti. Kita tahu apa yang berlaku atau yang dialami Onn selepas itu.

Namun, yang kita tidak tahu ialah seandainya Umno membuka pintu kepada orang Malaya semua kaum waktu itu adakah negara ini tidak akan ada parti yang berlandas “perjuangan” membela sesuatu kaum? Dan di tempat mereka akan ada hanya parti politik yang “memperjuangkan” kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum, bangsa dan agama?

Kita tidak akan tahu jawapannya buat selama lamanya kerana impian Onn tidak kesampaian. Kita hanya cuma boleh membuat andaian dan spekulasi sendiri.

Secara peribadi saya percaya jika Umno menerima cadangan Onn kita tidak akan dilanda ragam dan gelagat parti politik yang berlandaskan kaum dan bangsa seperti dialami selama ini.

Parti berasaskan kaum atau “race based parties” yang wujud waktu Onn akan terpaksa ikut sama langkah Umno membuka keahliannya. Mereka mesti berbuat demikian demi “political survival” masing masing. Dan tentu sekali parti yang ditubuhkan selepas era itu akan juga menjadi “multi race parties”.

Dan kita tidak akan berdepan isu bangsa dan agama yang mudah dieksploitasi. Sentimen perkauman tidak akan dibakar untuk raih undi. Yang ada dan perlu dihadapi serta ditangani membabitkan isu nasional dan isu rakyat Malaysia. Tidak perlu cogan kata 1Malaysia mahu pun Keluarga Malaysia yang sekadar retorik.

Bagaimanapun, oleh kerana Umno tidak membuka keahliannya kepada semua bangsa dan kekal parti orang Melayu sahaja (walaupun pada lewat 1980-an ia menerima keahlian semua Bumiputera termasuk Bumiputera bukan Islam) ras menjadi elemen penting di Malaysia untuk meraih sokongan umum (baca menang pilihan raya).

Dan negara menyaksikan adanya MCA “berjuang” untuk orang Cinanya. MIC pula khusus untuk masyarakat India. Jangan lupa PAS yang mengaku berjuang untuk Melayu/Islam. Sekadar menyebut tiga contoh.

Ini tidak bermakna negara tidak ada parti politik untuk semua. Parti berbilang bangsa. Sekurang-kurangnya mendakwa atau berhasrat demikian.

Umpamanya DAP ditubuhkan untuk semua bangsa. Parti Malaysia untuk rakyat Malaysia. Namun ia rata-rata menarik minat masyarakat Cina. Maka ia diibaratkan parti pelbagai kaum bermajoriti Cina. Bukan salah mereka tetapi itulah yang terjadi. Bagi musuhnya DAP dilihat sebagai parti Cina.

Begitu juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau lebih dikenali sebagai Gerakan. Ia juga ditubuhkan sebagai parti semua bangsa. Malah antara pengasasnya ialah Syed Hussein Alatas, orang Melayu keturunan Arab.

Namun, Gerakan juga menarik minat hanya kebanyakan orang Cina. Lalu ia diibaratkan “a multi racial Chinese majority party”. Dan Gerakan juga dilihat sebagai parti Cina walaupun sejak akhir 1990-an orang Cina pun sudah menjauhinya.

Apa pun kedua-dua parti itu terutama DAP masih berusaha keras memikat bangsa selain Cina khususnya orang Melayu untuk menyertainya demi mencapai hasrat menjadi parti berwajah Malaysia. Bagi mereka hanya parti “multi racial” akan diterima rakyat dan menang pilihan raya.

Ada benarnya pandangan itu. Akan tetapi ada batu api dan batu penghalang ke arah itu. Tidak perlu dihurai mengapa kerana semua faham dan tahu.

Berlainan Umno, PAS dan juga Bersatu. Semuanya kekal dengan imej nasionalis, ketuanan Melayu, Islamis. Ketiga-tiga tidak berganjak dengan apa yang mereka dakwa “perjuangan untuk Melayu, Bumiputera dan Islam”.

Pun begitu mereka tahu parti berbilang kaumlah yang paling sesuai buat Malaysia. Lantas dalam pada mengekalkan bentuk asal masing-masing dengan “kemelayuan dan keislamannya” mereka turut “membuka” ruang untuk orang bukan Melayu dan bukan Islam.

PAS ada Dewan Himpunan Penyokongnya atau DHPP yang dianggotai orang bukan Islam. Bersatu pula menubuhkan apa yang dipanggil “sayap bersekutu” untuk dianggotai orang bukan Melayu bukan Islam.

Tetapi sama ada DHPP atau pun “sayap bersekutu” Bersatu keahliannya bukan setaraf dengan keahlian parti induk. Maka pengkritik menuduh ahli bukan Melayu/Islam kedua-dua parti sebagai “second class citizen” yakni warga kelas kedua. Tidak perlu berpolemik mengenai dakwaan itu.

Yang jelas kehadiran orang bukan Islam dalam PAS dan Bersatu sekadar “penghias” untuk memberi kedua-dua parti imej parti berbilang kaum.

Dan jelas juga hasrat itu tidak berjaya kerana umum masih lihat PAS dan Bersatu parti eksklusif orang Melayu beragama Islam.

Umno mengambil pendekatan sedikit berbeza. Selain membuka keahlian kepada semua Bumiputera termasuk yang bukan Islam, mereka selama ini duduk dalam gabungan BN (sebelum itu Perikatan) antaranya bersama MCA dan MIC. Dengan itu “berselindung” di sebalik gabungan untuk memaparkan imej kepelbagaian kaum dan bukan parti secara sendirian. Apa pun Umno tetap parti satu kaum.

Parti pelbagai kaum seperti yang dimahukan Onn jelas menunjukkan beliau berpandangan jauh. “Ahead of his time”. Onn impikan parti majoriti Melayu yang dianggotai semua kaum.

Oleh kerana orang Melayu majoriti rakyat negara ini, merekalah yang “logiknya” memimpin parti itu. Mungkin itu yang Onn mahu saksikan.

Mungkin parti seumpama itu ada sekarang. Ciri-ciri itu ada dalam Parti Keadilan Rakyat. Mungkin kerana ia ada majoriti ahli Melayu, dipimpin pada peringkat tertinggi oleh pemimpin Melayu dibantu pemimpin bukan Melayu. Dan jumlah ahli bukan Melayu juga agak memberangsangkan.

Mungkin ahli PKR sendiri tidak sedar akan ciri-ciri istimewa parti mereka. Entahlah. Namun, konsep PKR sememangnya “ideal” untuk Malaysia. Afdal. Saya tekankan “konsep”. Sejauh mana ia berkesan dan berjaya dilaksanakan secara adil serta efektif oleh PKR yang ada sekarang terpulang kepada pandangan, pendapat dan interpretasi masing-masing.

Ada orang (mungkin juga ramai) yang masih percaya PKR ditubuh semata-mata untuk Anwar Ibrahim. Membela “penganiayaan” ke atasnya, bebaskan beliau dari penjara dan mengangkatnya jadi perdana menteri. Saya tidak bercadang mengulas itu. Dan artikel ini juga bukan pro mahu pun anti-PKR.

Cuma ingin menyatakan apa yang sudah nyata bahawa ia parti berbilang kaum. Sama ada ia menepati impian Onn bukan isunya.

Yang ingin ditegaskan ialah PKR (dan jika ada parti lain di Sabah dan Sarawak yang juga dianggotai pelbagai kaum) mempunyai tempat di negara ini.
Semata-mata kerana parti kepelbagaian kaum mampu menarik sokongan rakyat Malaysia semua bangsa terutama di masa mendatang.

Mungkin akan tiba masanya parti berasas kaum tidak mendapat tempat di negara ini. Pada waktu itu semuanya dalam konteks Malaysia, bukan sesuatu kaum. Terpulang kepada PKR dan parti pelbagai kaum lain (jika ada) untuk memastikan mereka boleh menyahut cabaran itu.

Itu semua kemungkinan. Namun, tidak dinafikan mungkin juga negara akan hanya ada tempat untuk parti parti politik berasas satu bangsa. Jika itu terjadi, ia sesuatu yang tidak elok untuk negara ini. Ia langkah keterbelakang. Bukan yang diimpikan Onn Jaafar lebih 70 tahun lalu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.