https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hoi, rakyat bersyukurlah


Oleh Mohsin Abdullah

Ketika Annuar Musa, pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, ditanya media adakah cadangan potong gaji menteri sesuatu yang baik untuk menangani masalah inflasi negara, beliau jawab pertanyaan itu dengan pertanyaan. Begini:

“Bolehkah anda namakan satu negara yang berjaya turunkan inflasi dengan (menteri) potong gaji?”

Berkata lagi beliau: “Katakan anda potong RM10,000 dari setiap menteri, gandakan dengan 36 (yakni bilangan menteri dalam Kabinet) berapa anda dapat? Bolehkah anda beri jaminan kepada saya inflasi akan selesai? Harga barang tak kan naik?”

Annuar, kita tahu ialah seorang menteri dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob. Lebih tepat beliau menteri komunikasi dan multimedia. Apa yang beliau katakan itu memang betul. Tidak ada negara yang inflasinya turun kerana gaji menterinya dipotong.

Namun bak kata Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, langkah itu (potong gaji menteri) dapat menunjukkan solidariti dan keinsafan terhadap kesusahan dan keperitan di sekeliling kita. “Lupakah pengajaran yang kita dapati dari kewajipan berpuasa”, giliran Khaled pula bertanya.

Betul tu. Sekurang-kurangnya sakit sama dirasa. Tunjukkanlah simpati terhadap rakyat (di samping berusaha keras atasi kesengaraan mereka kerana setakat tunjuk simpati sahaja tidak memadai).

Izinkan saya memapar contoh. Jika menteri berkunjung ke rumah rakyat miskin tanpa mengenakan kemeja jenama mewah dan jam tangan berharga ribuan ringgit, kemiskinan si rakyat tidak akan hilang. Miskin tetap miskin tetapi sekurang-kurangnya tidaklah ibarat memerah limau ke atas luka.

Beberapa hari terdahulu, Annuar dipetik berkata rakyat perlu bersyukur kerana harga barang terutama produk makanan di Malaysia antara terendah dalam kalangan negara Asean – merujuk laporan Bank Dunia berhubung program bakul makanan iaitu diet makanan sihat.

Sebenarnya sudah banyak kali para menteri (maksudnya bukan Annuar seorang) menggesa rakyat bersyukur. Kita sudah dengar berulang kali dan sekian lama menteri suruh rakyat bersyukur.

Syukur kerana negara aman damai. Negara tidak ada malapetaka seperti gempa bumi dan sebagainya. Bersyukur negara capai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Masa wabak Covid-19 mula melanda, rakyat disaran bersyukur kerana keadaan kita tak seteruk negara lain. Bersyukur kerajaan izin keluarkan KWSP. Ada juga nasihat supaya rakyat bersyukur dengan pelantikan perdana menteri ke-9. Siapa kata apa tidak perlu dihuraikan kerana ramai sudah tahu.

Kata agamawan, makna bersyukur ialah menzahirkan rasa penghargaan atas sesuatu nikmat. Ia manifestasi sikap merendah diri dan menjauhkan diri daripada sifat sombong. Bersyukur, menurut cerdik pandai agama, sifat hamba yang tunduk kepada Tuhannya.

Kerajaan tahu rata-rata rakyat percaya Tuhan sememangnya wujud. Rakyat majoritinya yakin akan agama. Oleh itu, gesaan bersyukurlah dibuat dan rakyat, walau apa pun agamanya (khususnya Muslim), akan menyambut gesaan itu.

Bersyukurlah kita semua. Sesungguhnya bersyukur amalan mulia. Alhamdulillah syukur kepada Allah, kata umat Islam. Praise the Lord, kata Kristian. Penganut Buddha, Hindu, serta kepercayaan lain juga ada caranya menyatakan rasa syukur masing-masing.

Berbalik kepada saranan terbaharu mengenai mesti bersyukur yang dibuat Annuar. Bersyukur harga barang kedua terendah dalam kalangan negara Asean. Harga kita lebih murah berbanding negara Asean lain. Sememangnya kita perlu bersyukur, malah sudah bersyukur.

Pun begitu, harga lebih rendah daripada harga negara lain bukan bererti harga di negara kita murah. Sekadar lebih murah daripada harga negara lain tetapi tetap tidak murah. Yakni mahal. Itu realitinya.

Keadaan negara kita dengan negara lain berbeda. Berbeda pendapatan umpamanya. Beza sosio-ekonomi dan lain lain perbezaan. Ringkasnya, bak kata Inggeris, “it’s like comparing apples with oranges”. Buah-buahan yang tidak sama dan tidak boleh disamakan. Epal adalah epal dan oren tetap oren meskipun dua-duanya buah.

Diulangi bukan tidak bersyukur tetapi menyatakan perbezaan yang nyata. Ingin saya bertanya – apa maksud Annuar dengan kenyataannya rakyat perlu bersyukur? Setelah bersyukur harga kita lebih rendah daripada harga negara lain, apa yang harus dilakukan?

Adakah kita mesti rela harga kita mahal tetapi ia lebih murah daripada harga negara lain? Berpuas hati? Adakah itu meringan beban yang dipikul? Hanya kerana harga kita rendah daripada harga mereka, semuanya OK?

Adakah setelah diminta bersyukur, akan timbul pula pasrah dan redha?

Pasrah, saya diberitahu, adalah menyerah iaitu menyerah diri dan jiwa terhadap sesuatu keadaan yang berlaku. Manakala redha dimaksudkan dengan penerimaan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi dengan ikhlas. Atau rela hati terhadap apa yang telah ditakdirkan.

Harap-harap rakyat tidak diminta redha dengan inflasi, kos sara hidup melambung, dan kadar inflasi tinggi. Bukankah umat manusia diminta berusaha. Bagi umat Islam, para ustaz kerap mengingatkan ayat Al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”

Cukup setakat itu kerana saya bukan arif akan bab agama atau pun berhujah macam agamawan.

Tetapi, bercakap mengenai syukur, mengapa hanya rakyat yang selalu diminta bersyukur? Mengapa tidak pemimpin kerajaan? Mereka perlu bersyukur kerana rakyat mempunyai sikap toleransi tinggi berbanding negara lain. Rakyat penyabar, mudah memaafkan, dan tidak ganas.

Kesimpulannya rakyat negara ini mudah diperintah, ditadbir, dan diurus. Maka pemimpin bersyukurlah.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.