KKM tak cadang tamatkan MySejahtera, kata timbalan menteri
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tiada rancangan menamatkan penggunaan aplikasi MySejahtera, sebaliknya dalam usaha memperluaskan fungsinya sebagai aplikasi kesihatan awam yang umum.
Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya merancang menggunakan MySejahtera sebagai medium menyimpan maklumat kesihatan pengguna.
“Kerajaan melihat platform aplikasi MySejahtera mempunyai potensi yang tiada batas dan dalam perancangan untuk menambah ciri-ciri serta modul yang membantu pengguna memantau dan mempertingkat tahap kesihatan kendiri dengan mudah dan tepat.
“Kita yakin penggunaan aplikasi MySejahtera terus kekal relevan dalam memacu rakyat ke arah Revolusi Industri 4.0 selaras Pelan Strategik Pendigital Sektor Awam 2021-2025,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, fungsi MySejahtera juga sedang dibangunkan bagi membolehkan ibu bapa dan penjaga menyimpan rekod imunisasi anak serta kanak-kanak jagaan mereka.
Katanya, ia memudahkan ibu bapa kerana aplikasi itu akan memaparkan sijil imunisasi digital untuk setiap vaksinasi yang diterima anak mereka.
“Bagi pengguna dewasa, mereka melakukan saringan kesihatan kendiri dan menyimpan maklumat serta sejarah kesihatan peribadi dalam MySejahtera.”
Pakar keselamatan maklumat di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia, Nur Izura Udzir berkata, isu keselamatan data dan privasi pengguna perlu diberi perhatian serius, jika MySejahtera terus digunakan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan aspek privasi terjamin, di samping tiada diskriminasi timbul untuk digunakan semua pihak.
“MySejahtera sudah memiliki data-data peribadi individu, termasuk nombor telefon, alamat di samping rekod kesihatan. Mungkin fungsinya itu boleh dikembangkan lagi untuk tujuan lain, termasuk penyakit berjangkit, vaksinasi atau saringan kesihatan,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.