https://critoxium.com/shop/

Terkini

Berulangkah bubar lepas Bajet 1999?


Oleh Zulkifli Jalil

 PADA 29 Oktober 1999, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin membentangkan Belanjawan 2000. Baru dua minggu berlalu Dewan Rakyat membahaskan Bajet itu, rakyat dikejutkan dengan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkuat kuasa 12 November.

Kata Dr. Mahathir, Belanjawan 2000 yang baharu akan dibentangkan kemudian untuk dibahaskan semula. Proses itu terpaksa dilakukan kerana Belanjawan itu belum diluluskan Parlimen.

Ia bergantung jika kerajaan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-10 itu bukan BN yang dipilih. Namun ikut kata Yang Dipertua Dewan Rakyat waktu itu, Tun Mohamed Zahir Ismail (Allahyarham), kerajaan BN jika menang masih boleh bentangkan belanjawaan yang lama (dibentang 29 Oktober itu).

Kisah 23 tahun lalu itu lebih kurang sama dengan cakap-cakap politik hari ini kemungkinan Parlimen dibubar sebaik sahaja Belanjawan 2023 dibentang supaya boleh dipanggil segera PRU15.

Belanjawan yang telah dibentangkan, tetapi belum diluluskan, sekali gus bermakna kerajaan sementara atau caretaker government tidak boleh berbelanja. Namun untuk tahun ini, dijangkakan negara tidak menghadapi masalah kerana peruntukan sedia ada mencukupi dan telah melalui proses sewajarnya.

Kepada Perdana Menteri, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan, undang-undang atau peraturan urusan Mesyuarat Parlimen yang menghalang beliau untuk bubarkan Parlimen pada bila-bila masa. Malah Parlimen boleh dibubarkan ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Jika rang undang-undang belanjawan telah dibentang dan sesi perbahasannya masih belum selesai apabila pembubaran Dewan Rakyat diumumkan, perbahasan rang undang-undang itu terpaksa ditangguhkan.

Tetapi rang undang-undang tidak akan pupus, ia masih sah dan boleh diteruskan perbahasannya pada sidang mesyuarat selepas pilihan raya kelak, tanpa perlu dibentang semula.

Dengan undang-undang antilompat parti sudah lulus tanpa bangkangan 209 ahli Dewan Rakyat serta MoU kerajaan-pembangkang berakhir 31 Julai lalu tidak lagi disambung ke tarikh baharu, adakah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Agong dalam masa terdekat membawa hasrat bubar Parlimen?

Jika kisah 1999 mahu diulang, adakah pembentangan Belanjawan yang tradisinya di penghujung Oktober dianjakkan lebih awal bulan depan, September demi menyegerakan PRU15, sekali gus menjayakan bukti ‘momentum ketika ini BN boleh menang?’ Desas-desus kuat menyatakan EPU dan MoF tidak menang tangan sedang menyediakan dokumen Belanjawan 2023 untuk dibentangkan ini.

Apatah lagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah beri komitmennya untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai poster boy BN, sekali gus PM ke-10, agak meredakan ‘apa yang terbuku di hati’?

Cuma benarkah BN memiliki kelebihan menang dalam PRU15? Belum ada data empirikalnya meskipun siri pilihan raya kecil dan dua dari empat pilihan raya negeri disapu bersih BN. Sukar juga letakkan BN selaku favourite sebab kerajaan yang ada sekarang bukanlah ‘kerajaan BN’ dalam erti kata sebenar. Sekali pun kerajaan (pengawalan) sementara atau caretaker government wujud semasa kempen PRU, ia tidak pula dimonopoli sepenuhnya menteri daripada BN.

Malah semua menteri dan timbalan menteri (yang datang dari parti Bersatu dan Pas) semasa tempoh caretaker masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat dalam kempen PRU15. Antaranya, memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan.

Kesimpulannya, semua parti politik memiliki peluang sa­ma menang terutama Pakatan Harapan dari PKR dan DAP. Opss! bubar Parlimen sebelum atau lepas bentang Belanjawan nanti? Atau kerajaan sedia ada ini terus berfungsi sehingga 16 Julai tahun depan?

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.