https://critoxium.com/shop/

Terkini

E-dompet mula luas diterima pakai penduduk luar bandar


PETALING JAYA: Warga luar bandar akan dapat menikmati akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kewangan apabila penggiat e-dompet kini meluaskan jangkauan mereka.

“Lebih ramai orang menggunakan e-dompet hari ini, dengan popularitinya berkembang pesat walaupun di kawasan luar bandar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Saravanan Thambirajah.

Beliau berkata, penduduk luar bandar sebelum ini lebih terbiasa menggunakan kad debit. Bagaimanapun, kebelakangan ini, pengguna kad debit kebanyakannya tergolong dalam kumpulan usia yang lebih matang.

“Sebaliknya, demografi lebih muda kelihatan lebih cenderung menggunakan e-dompet,” katanya.-

Tambahnya, penduduk luar bandar semakin tertarik kepada e-dompet berbanding memegang wang tunai, kerana ia mengurangkan risiko kecurian.

“E-dompet menawarkan keselamatan yang lebih baik kerana hanya pemegang akaun mempunyai akses kepada kandungannya,” katanya.

Lebih penting lagi, kata Saravanan penggunaan e-dompet dan sistem pembayaran digital akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dari segi ekonomi dengan memudahkan transaksi perniagaan.

Katanya, kerajaan juga akan dapat mengesan perniagaan luar bandar dengan lebih baik, bukan sahaja bagi tujuan percukaian tetapi juga untuk mengukur sumbangan mereka kepada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

E-dompet dan sistem pembayaran digital juga akan membantu mengekang kelaziman ekonomi luar arus perdana.

Bagaimanapun, kata Saravanan, kekurangan akses Internet di kawasan luar bandar menjadi halangan besar kepada pertumbuhan sistem pembayaran digital.

“Tempat-tempat ini sering kekurangan infrastruktur telekomunikasi asas dan tanpanya, penggunaan (sistem pembayaran digital) tidak dapat berkembang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng berkata, e-dompet juga akan menangani isu kekurangan perbankan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Dengan kemudahan e-perbankan, bilangan cawangan bank terus berkurangan sejak beberapa tahun ini, daripada 14 (cawangan) bagi 100,000 penduduk pada 2004 kepada 10 bagi 100,000 pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, e-dompet bukan sahaja memudahkan urusan, malah lebih selamat bagi perniagaan dan pengguna.

“Ia melangkaui keperluan perniagaan kecil untuk mengekalkan apungan tunai, dan pada masa sama, menyimpan rekod transaksi yang boleh dirujuk apabila timbul pertikaian,” katanya.

Bagaimanapun, Ng mengakui bahawa margin yang rendah menjadi penghalang kepada penerapan pembayaran digital dalam kalangan perniagaan kecil.

Beliau menggalakkan semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memanfaatkan faedah tambahan yang disediakan oleh e-dompet.

Satu manfaat utama ialah penjanaan data jualan yang membolehkan perniagaan mengenal pasti produk mereka yang lebih laris, seterusnya membolehkan mereka membuat keputusan perniagaan yang lebih baik.

“Data sebegitu juga boleh diberikan kepada institusi kewangan untuk membantu mereka memutuskan sama ada untuk melanjutkan talian kredit bagi menyokong usaha pengembangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan penggiat utama seperti Boost, GrabPay, Touch ‘n Go dan WeChat Pay lebih meneroka kawasan luar bandar agar e-dompet diguna pakai dengan lebih meluas.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.