https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hukuman penjara Najib ditambah jika gagal bayar denda RM210 juta


KUALA LUMPUR: Sehingga semalam bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak masih belum membayar denda RM210 juta dan jika gagal berbuat demikian hukuman penjara 12 tahun yang dijalaninya boleh ditambah kepada lima tahun lagi.

Sehingga berita ditulis, salah seorang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu masih belum membuat pembayaran denda.

Menjawab pertanyaan sama ada Najib perlu melunaskan denda secara sekali gus secara ansuran atau perlu dibayar dalam masa tertentu, pendakwa itu menyatakan kebiasaanya ia perlu dibayar sebaik sahaja prosiding selesai.

“Mengikut amalan biasa, bayaran denda perlu diselesaikan terus sebaik sahaja prosiding tamat. Jika gagal, maka hukuman penjara kerana gagal lunaskan denda akan terus dikuat kuasa.

“Mahkamah tidak menge­luarkan sebarang perintah me­ngenai cara pembayaran jadi kena bayar sekali gus. Bayaran ansuran kebiasaanya tidak akan diterima kerana ia boleh dianggap sebagai pembayaran tidak lengkap dan penjara tambahan boleh dikenakan terus secara automatik,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, peguam Geethan Ram Vincent ketika dihubungi pula berkata, Najib boleh melunaskan wang denda tersebut dalam tempoh beliau dipenjarakan.

“Selepas diremit (pemoto­ngan), Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun sahaja. Jadi beliau perlu melunaskan bayaran dalam tempoh ini. Di akhir hukumannya, mahkamah akan membuat penilaian sama ada Najib telah membayar atau tidak dendanya.

“Sekiranya dalam tempoh lapan tahun ini, Najib membayar dendanya, maka hukuman penjara tambahan lima tahun itu tidak akan dikuatkuasakan ter­hadapnya. Jika tiada pembayaran dibuat, maka ketika itu, baru hukuman penjara tambahan itu boleh dilaksanakan,”katanya.

Berdasarkan Seksyen 283(b)(iv) Kanun Prosedur Jenayah, sekiranya mahkamah tidak menetapkan tempoh pembayaran denda perlu dilunaskan, hukuman penjara tambahan itu tidak boleh dikenakan kepada mana-mana pesalah secara automatik.

Hukuman penjara tambahan secara automatik hanya boleh dikenakan sekiranya Mahkamah mendapati pesalah terbabit tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk menjelaskan denda tersebut.

Pada 2 Ogos lalu, melalui pe­rintah Mareva yang dikenakan kepadanya, Najib mendedahkan bahawa beliau hanya mempu­nyai aset tambahan merangkumi tanah, rumah, kenderaan dan wang dalam akaun peribadi sebanyak RM­4.49 juta. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.