https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib berdepan empat lagi kes mahkamah


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih perlu dibicarakan terhadap empat lagi kes meskipun rayuan akhirnya untuk me­ngetepikan hukuman dan sa­bitan terhadap penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. ditolak Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik jika tia­da sebarang prosedur mah­kamah lain atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh 14 hari bermula kelmarin.

Sementara itu, anak-anak Na­jib iaitu Norashman dan kakaknya, Nooryana Najwa tidak mahu berputus asa sebaliknya mahu meneruskan perjuangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, setiap kes tersebut mempunyai pertuduhan berbeza di antara satu sama lain berban­ding sabitan kes SRC.

Katanya, hal ini kerana prinsip undang-undang res judicata diguna pakai negara ini iaitu tidak membenarkan dua pertuduhan sekali gus jika membabitkan fakta yang sama.

“Ini bermaksud walaupun Najib disabitkan bersalah dan dihukum penjara, tidak bermakna terlepas daripada kes-kes lain memandangkan setiap kes tidak mempunyai kaitan antara satu lain.

“Sudah tentu sebelum pertuduhan lain dibuat, Jabatan Peguam Negara akan meneliti kertas pertuduhan bagi memastikan setiap pendakwaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain bagi mengelakkan pertindihan undang-undang.

“Jadi, secara asasnya, beliau masih berdepan empat lagi kes walaupun sudah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta,” katanya.

Kelmarin, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Men­teri terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Mahkamah turut menge­kal­kan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau lima tahun penjara (jika gagal bayar) yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini dan beliau mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun Abu Talib ber­kata, segala-gala terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan atau mena­rik pendakwaan kes-kes lain kerana itu hak mereka untuk berbuat demikian.

“Itu merupakan bidang kuasa Jabatan Peguam Negara untuk menarik setelah melihat perkara-perkara tertentu dan sejajar prinsip undang-undang iaitu tiada seorang terlepas daripada undang-undang.

“Bagi pihak Najib pula, beliau ada hak untuk membela diri daripada sudut undang-undang sekali pun kini telah dihukum penjara. Pemenjaraannya tidak bermakna beliau tidak bersalah terhadap kes-kes lain walaupun disabit bersalah,” jelasnya.

Selain SRC, Najib berhadapan empat pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, beliau kini dibi­carakan iaitu menggunakan ke­dudukannya mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan atas tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

Terakhir, enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kesemua kes itu masih di peringkat perbicaraan dan pengurusan kes.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.