https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa pilihan Najib ada?


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan sukar untuk membuat semakan kehakiman selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu yang didapati salah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, andaian itu dibuat selepas mengambil kira permohonan untuk mengemukakan bukti baharu pada peringkat rayuan juga ditolak oleh mahkamah.

Katanya, Najib mempunyai pilihan lain untuk mengangkat permohonan bagi pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong selepas hukuman dijatuhkan.

Namun, kata beliau, Seri Paduka Baginda perlu bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan sama ada untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum terhadap Najib, atau hukuman dikekalkan apabila permohonan ditolak.

“Yang di-Pertuan Agong bo­leh juga meremit, menggantung atau meringankan hukuman.

“Lembaga Pengampunan perlu terlebih dahulu menimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum menyem­bahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sini semalam.

Dalam hal ini, Ahmad Fauzi berkata, timbul persoalan bilakah masa yang sesuai untuk Najib memohon pengampunan diraja memandangkan masih banyak lagi pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Antara pertuduhan lain yang masih berjalan ialah penyelewengan dana wang 1Ma­laysia Development Bhd. (1MDB) sebanyak RM2.3 billion dan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapat suapan atau rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Najib juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. Ini termasuk pertuduhan menggunakan kedudukannya mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah turut menghadapi enam pertuduhan pecah amanah atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company.

Namun, Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dari UMP berkata, terpulang kepada Najib membuat permohonan tersebut kerana ia diperuntukkan oleh undang-undang negara.

“Najib juga menghadapi ba­nyak lagi tuduhan. Saya berharap mana-mana pihak tidak keterlaluan melihat Najib dihukum kerana pada ramai orang, jasa beliau tetap dikenang.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut pertimba­ngannya. Pada pandangan saya tindakan seperti mengejek adalah tidak wajar. Sebaliknya kita perlu mengambil iktibar dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana ada kes orang tidak bersalah dihukum akibat berada di tempat yang tidak betul dan masa yang tidak be­tul,” katanya.

Panel lima hakim yang di­ke­tuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kelmarin sebulat suara mengekalkan sabitan salah ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, kini Hakim Mahkamah Rayuan, menghukum penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menya­lahgunakan kedudukan.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.