Najib sedang biasakan diri dengan rutin baharu – Nooryana
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang membiasakan diri dengan rutin baharunya di Penjara Kajang yang sama sekali berbeza dengan jadual terdahulu.
Perkembangan terkini itu dikongsikan anaknya, Nooryana Najwa menerusi aplikasi Instagram Story miliknya lewat malam tadi.
Menurut Nooryana Najwa, bapanya dalam keadaan sihat, malah, semangat perjuangan juga masih kuat walaupun selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Katanya lagi, semalam wakil daripada barisan peguam dapat berjumpa bapanya di penjara.
“Keperluan asas daddy diberikan dan beliau sedang membiasakan diri dengan rutin baharu – berbeza dengan jadual harian ‘Bossku’ yang sentiasa padat.
“Terima kasih kami ucapkan kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang kerana mengambil berat keadaan beliau. Kami sangat menghargai keprihatinan anda,” katanya
Semalam, Nooryana Najwa memuat naik pesanan bapanya yang mahu mereka sekeluarga meneruskan perjuangan.
Katanya, dia sekeluarga di samping penyokong akan membuat yang terbaik bukan sekadar untuk Bossku tetapi juga untuk Barisan Nasional (BN), UMNO dan rakyat.
Menurut Nooryana Najwa, dia sekeluarga akan berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bagi bertemu bapanya yang terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.