https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan Melaka tak mungkin tumbang, kata penganalisis, pemimpin Umno


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) menafikan khabar angin berhubung rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan Melaka, susulan perselisihan lama antara Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan Ketua Umno negeri, Ab Rauf Yusoh.

James Chin dari Universiti Tasmania dan seorang ahli MKT yang enggan dinamakan berkata, khabar angin itu tidak perlu diambil terlalu serius kerana tumpuan di peringkat persekutuan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Chin percaya Rauf tidak berpuas hati kerana menjangkakan dirinya akan menjadi ketua menteri susulan kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu.

“Khabar angin ini hanya sebahagian daripada perbalahan berterusan antara beberapa ahli Umno yang tidak berpuas hati,” katanya kepada FMT.

-Advertisement-
Ads by

Beliau berkata, walaupun wujud konflik dalam parti, ahli parti tidak mahu keadaan terjejas menjelang PRU15.

“Isu kecil di peringkat negeri hanya tontonan sampingan. Jika terdapat sebarang masalah, ia adalah di peringkat persekutuan antara (puak yang menyokong) Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, serta Ismail Sabri Yaakob.”

Ahli MKT itu berkongsi sentimen sama dengan berkata, “bunyi bising” itu timbul daripada rasa tidak puas hati, tetapi ia tidak cukup signifikan untuk menjejaskan perubahan.

Minggu lalu, Rauf menafikan dakwaan bahawa 21 ADUN Umno mempunyai sebarang masalah dengan kepimpinan Sulaiman.

Beliau berkata, 21 ADUN itu, termasuk 10 yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sedang berusaha keras untuk membangunkan Melaka dan menarik lebih ramai pelabur.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, khabar angin itu mencerminkan politik dalaman Umno dalam kalangan “elit” parti.

“Apabila individu atau puak yang bercita-cita tinggi merancang untuk berkuasa, terdapat asakan dan tikam belakang berterusan.”

Ditanya sama ada Rauf memberi ancaman kepada kepimpinan Sulaiman, katanya, ia bergantung sama ada Rauf mahu ADUN Umno yang menyokongnya mengalihkan kesetiaan mereka daripada ketua menteri.

“Tetapi, tindakan sedemikian akan membawa kesan. Ia akan mendorong rakyat, khasnya pengundi atas pagar, menjauhi Umno kerana mereka muak dengan telatah politik antara puak.”

Katanya, ahli politik di peringkat negeri sebaliknya perlu memfokuskan usaha untuk meringankan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.