Mahathir lupa dia punca orang Melayu berpecah - Isham
Langkah Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan satu gagasan baru berteraskan Melayu dan Islam dikritik seorang pemimpin Umno, yang mendakwa bekas perdana menteri itu adalah punca perpecahan orang Melayu di negara ini.
Ahli Majlis Kerja (MKT) Umno Isham Jalil membangkitkan pertelagahan Mahathir dengan pemimpin politik seperti Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi dan Najib Razak yang menurutnya bukan saja menyebabkan perpecahan, malah telah melemahkan orang Melayu.
"Dia kata gagasan parti politik ini adalah kononnya untuk menyatupadukan orang-orang Melayu. Dia lupa selama ini dialah yang memecahkan perpaduan orang-orang Melayu di Malaysia.
"Dia bergaduh dengan Anwar dekat 30 tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PKR. Dia bergaduh dengan Pak Lah dekat 15 tahun lepas lalu lemah orang Melayu dan hilang dua per tiga kerusi di Parlimen.
"Dia bergaduh dengan Najib dekat tujuh tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh Bersatu. Dia bergaduh dengan Muhyiddin (Yassin) dua tahun lepas lalu berpecah PPBM tertubuh Pejuang," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam Bernama melaporkan Mahathir akan melancarkan satu gagasan baru berteraskan agenda Melayu dan Islam yang bakal dipimpinnya.
“Ini merupakan suatu kumpulan orang Melayu beragama Islam. Langkah ini perlu diambil jika ingin selamatkan negara kita, bangsa kita, agama kita,” katanya sambil menambah ia akan melibatkan beberapa parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sidang media mengenai gagasan itu dijangka akan diakan jam empat petang nanti di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya.
Gabungan baru itu dijangka akan melibatkan Pejuang, Berjasa, Putra dan Iman.
Mengulas lanjut, Isham berkata tindakan Mahathir hanya menguntungkan PH.
"Dia kalah pilihan raya di Johor hilang deposit di semua kerusi lalu dia tak puas hati dan ingin tubuh gagasan parti Melayu untuk pecah lagi undi Melayu.
" Sebab dia tahu sukar untuk menang kerusi dalam pilihan raya, oleh itu dia hanya boleh pecah undi Melayu. Jika dia berjaya pecah undi Melayu, maka PH dan DAP yang akan menang dan untung," katanya lagi
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.