https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pilihan PM bubar Parlimen - Mohamad


SEREMBAN: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya umum jika ada pihak yang mahu menarik sokongan terhadap kerajaan, adalah fakta.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan itu adalah pilihan yang beliau ada, jika ada pihak yang ingin menarik sokongan pada kerajaan.

"Opsyen beliau adalah membubarkan Parlimen. Itu adalah asas demokrasi kita iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan kita pun dah masuk dalam zon iaitu tahun kelima bagi penggal ini berakhir.

"Apabila tiba keadaan itu, orang akan bercakap tentang pilihan raya dan Perdana Menteri jika tidak dapat lagi kepercayaan majoriti, pilihan yang ada pada beliau adalah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.

"Ada dua, sama ada beliau meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen tetapi pilihan yang ada tentunya bubarkan Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini yang menegaskan kerajaan sedia mengadakan pilihan raya umum (PRU), jika Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan terhadapnya.

Kenyataan itu susulan satu laporan media yang menyatakan PN berkemungkinan menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Laporan itu mendakwa, sokongan itu ditarik kerana Perdana Menteri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.