https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pesan Lutfi jadi kata azimat anak didik


Oleh Shakira Buang

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan setiap yang hidup akan merasai kematian bahkan tidak ada satu pun dari kalangan yang bernyawa akan terlepas daripada kematian.

Sudah pasti setiap yang hidup dan yang diuji dengan pemergian insan tersayang tidak akan terlepas daripada rasa kehilangan dan kesedihan.

Bahkan rasa sedih dan kehilangan itu adakalanya akan turut sama dirasai bukan saja ahli keluarga tetapi juga sahabat handai.

Itu yang berlaku pada tanggal 9 Julai 2022, apabila dunia kewartawanan negara suram dengan berita pemergian penulis, wartawan dan aktivis politik, Ahmad Lutfi Othman.

Lutfi yang dikenali dalam peranannya sebagai ketua editor Harakah, akhbar lidah rasmi PAS, satu ketika dulu, pergi mengadap Illahi ketika menerima rawatan di Hospital UiTM Puncak Alam, beberapa jam selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-59 akibat beberapa komplikasi kesihatan.

Lutfi mengetuai sidang editorial Harakah dari 1987 hingga 1992 dan pada 2006 hingga 2015, sebelum menyertai Malaysia Dateline, iaitu lidah rasmi Amanah.

Pemergian Lutfi yang juga wartawan dan editor selama lebih tiga dekad dirasai pelbagai pihak yang rata-rata mereka menyifatkan tulisan anak kelahiran Kedah itu sebagai suara utama ketika era Reformasi.

Berkongsi rasa sedih dengan kehilangan itu, salah seorang anak didik Lutfi, yang juga penolong pengarang berita Harakah cetak, Azamin Amin.

Azamin yang lebih 15 tahun mengenali Lutfi ketika dihubungi berkata hidupnya terasa begitu sunyi sekali sejak hari pertama pemergian insan yang sudah dianggap sebagai abangnya sendiri.

"Selain daripada cikgu saya dah anggap dia sebagai sahabat dan abanglah. Hidup saya jadi sunyi sangat dari hari pemergian dia sampai hari ini.

"Kalau tidak dia suka membebel sikit, suruh telefon, dan kalau bercerita dialah yang paling rancak dan sekarang bila dah tak ada rasa sunyi sangat," katanya.

Pertemuan pertama

Mengimbau kembali saat pertama kali dipertemukan dengan Lutfi, Azamin berkata dirinya begitu bertuah apabila kebolehannya dihidu oleh insan yang dianggapnya sebagai tokoh yang hebat.

"Saya ini picisan saja. Saya anggap, saya ini dikutip oleh Lutfi. Dulu saya adalah eksekutif jualan di salah sebuah anak syarikat Harakah, dan dalam masa yang sama saya rajin menulis di (ruangan) surat pembaca.

"Disebabkan saya suka menulis itu jugalah, saya memohon untuk masuk jadi wartawan, tapi tak dapat. Cumanya setahun selepas itu, Lutfi dapat kesan saya melalui surat pembaca dan masa itu kenal saya dan dia jugalah yang menarik saya serta meminta pihak pengurusan lepaskan saya untuk jadi wartawan.

"Dia yang kesan potensi saya, pertama kali dia lamar saya, saya seganlah dengan dia, dia tokoh besar tapi kita ini sambil lalu saja...dia dapat nombor telefon saya kemudian dia mesej, masa itu tak ada lagi aplikasi Whatsapp ini," ceritanya.

Kata Azamin, ketika itu sekitar tahun 2005, dia menerima mesej dari Lutfi yang berbunyi, "sekali menulis, jangan berhenti..."

"Itu saja yang dia mesej pada saya. Itu jadi macam motivasilah pada saya, dia jenis begitu, sikit-sikit. Tak lama lepas itu dia panggil saya untuk jadi wartawan," katanya

Jelas anak didik Lutfi itu, Allahyarham bukanlah seorang yang bengis dalam mendidik seperti kebanyakan cerita yang didengar dari kenalannya di agensi media tempatan lain.

Kata Azamin, Lutfi mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Lutfi juga katanya tidak memberi tunjuk ajar melalui kelas, taklimat dan sebagainya.

"Dia tak pernah maki, tak pernah marah, susahlah nak tengok dia marah dan kalau dia tegur sikit-sikit itu pun secara bersahaja saja.

"Dia juga bagi kebebasan yang luas kepada wartawan muda macam saya bagaimana angle, tapi dia tunjuk ajar sikit-sikitlah. Tapi dia memang jarang buat teguran ...ehh, awak ni tak bolehlah...

"Itu bagusnya dia. Jadi, kita rasa 'enjoy' dan bebas nak berkarya. Kecuali benda itu sensitif atau melibatkan undang-undang dia akan campur tanganlah.

“Tapi dari segi olahan ayat memang dia beri kita kebebasan, dia tahu dah kita tahu prinsip kewartawan itu, tahu etika jadi dia beri kebebasan kepada kita bagaimana hendak berkarya.

"Kemudian, dia kenal orang ini mahir dari segi kewartawanan apa, macam ketua pengarang Harakah, Wan Wan Nordin Wan Yaacob merangkap kawan saya sendiri dia mahir politik. Jadi, dia bagi banyak tugasan politik pada Wan Nordin," katanya.

Kata Azamin, dia sendiri lebih cenderung ditugaskan membuat liputan berkaitan kemanusian kerana di situ minatnya.

"Saya ini banyak menulis lebih kepada lenggok unsur kemanusian, denyut nadi rakyat, orang susah, dia sukalah.

"Dia tahu orang ini sesuai ini, orang ini tahap kenyataan media saja, orang yang itu tahap menghubungi saja, ketika dihubungi," katanya.

Turun ke padang

Menurut Azamin, Lutfi juga cukup pantang apabila liputan yang dibuat anak didiknya tidak cukup mendalam apatah lagi sekadar menghubungi subjek melalui telefon.

Kata Azamin, Lutfi sentiasa mahu wartawan bertugas turun ke lapangan bagi menjadi saksi mata selain mendapatkan cerita yang sebenar sekali gus merasai sendiri jerih perih yang dilalui individu yang menjadi bahan cerita yang ditulis.

"Dia kurang suka hubungi-hubungi ini. Dia suka kita turun ke lapangan. Dia tak boleh kita...katalah kebakaran itu berlaku, kita hubungi saja mangsa kebakaran, dia tak nak.

"Dia kata dah terbakar ke, dah terbanjir ke, pergi sana tengok. Sisa banjir ke, puing-puing ke, benda yang tinggal dan dari situ kita boleh menghayati.Ini dia kata dalam telefon saja," katanya.

Disebabkan itu juga, Azamin mengakui dia 'letih' berada di bawah pengawasan ketua pengarangnya itu.

"Ini cerita betul, saya dengan Wan Nordin letih di bawah dia ini, dalam erti kata bukan marah tapi letih dengan semangat dia yang kadang-kadang 'overdose'.

"Kadang-kadang saya terpaksa bawa dialah, dia nak tengok dan pergi. Padahal benda itu dah berlaku dah, macam banjir di Johor dah seminggu berlaku, dah habis dah tapi dia nak juga turun dan tengok.

"Jadi, dia bolehlah hayati, selut-selut itu bagaimana, lebih mendalamlah, dia begitu. Kita kena jadi saksi mata, ini memang saya tak boleh lupalah," katanya.

Contohnya, kata Azamin, kalau dia mendapat berita sensasi, walaupun berita itu sensasi untuk menjatuhkan lawan, Lutfi tetap memintanya pergi menyemak terlebih dahulu serta berjumpa sumber terlibat walaupun berbahaya sebelum sesuatu berita itu disiarkan.

"Kadang, dia suruh bawa dia pergi jumpa sumber saya, kadang-kadang privasi tempat-tempat yang agak bahaya dia suruh bawa. Itu satu kelebihan dia. Jadi, benda-benda sebegini yang buat saya tak boleh lupa dia didik saya.

"Jangan malas, itu perkara wajib yang dia akan buat. Boleh kata arwah ini sukakan cabaran dan lagi satu dia ini tak suka duduk diam," katanya.

Tak suka bantu sekerat jalan

Tambah Azamin apa yang turut membuatkan dia begitu dekat dengan Lutfi adalah sifat simpati Allahyarham yang begitu mendalam.

Azamin berkata, disebabkan sifat itu jugalah dia sehingga hari ini tidak dapat menonton rancangan Bersamamu yang disiarkan di saluran televisyen tempatan.

"Dia ini kalau bantu orang atau menolong rakyat marhaen ini, dia kata bantu sampai sudah, ini yang saya tak boleh lupa. Dia tak suka orang bantu sekerat-sekerat jalan ini, dia tak suka.

"Contoh sekerat jalan, maksudnya kalau kita bagi duit dekat orang itu lebih kurang atau pun beli makanan lebih kurang, mentang-mentang dia miskin kita beli sajalah ikan goreng, dia (Lutfi) tak nak.

"Dia kalau nak beli, nak bagi makan beli nasi beriani. Dia akan bersungguh-sungguh sampai sudah. Sebab itu juga dia juara atau pun wira bagi ahli keluarga mangsa (tahanan) ISA, dia pejuang ISA.

"Saya biasa ikut dia sampai ke Sabah, dan dia kalau dia nak bantu keluarga mangsa ISA ini dia bukan setakat bagi sumbangan atau duit tetapi dia akan masak dan makan bersama mereka.

"Dia tak nak sekadar pergi beli makanan untuk mereka-mereka yang terlibat sebaliknya dia sendiri yang mahu melayan ahli keluarga mangsa.

"Dia buat sampai habis, sampai mereka puas hati. Itu sebab kadang-kadang, adalah beberapa isu yang dilihat ada NGO atau mana-mana parti yang buat sambil lewa ini dia pantang sikitlah. Maksudnya, kalau bagi makan pun bungkus ala kadar, dia tak suka," katanya.

Kata Azamin, sikap Lutfi dalam menolong orang yang kesusahan membuatkanya begitu terkesan.

"Dan yang paling saya marah sebab dia mengajar saya menghayati terlalu dalam. Secara psikologi kita akan panggil empati tapi ini terlalu empati sampai kebanyakan masanya saya tak boleh move on.

”Sampai terbawa-bawa, kadang sampai menangis dibuatnya. Tak pasal-pasal, jadi terbawa-bawa dalam kerja.

"Ada satu hari itu, dia minta saya menyantuni ahli keluarga ISA, ada seorang budak ini dia tarik seluar saya dan berkata ‘pakcik-pakcik, nanti bawa balik ayah ya’.

"Allah, saya masa itu tak boleh tahan. Balik saja dari tempat tugasan saya macam nak marah. Saya bukan nak marah budak itu, tapi nak marah Lutfi.

"Janganlah hantar saya tugasan macam ini. Saya tak suka. Saya tertekan, sebab perasaan itu terlalu mendalam. Macam kalau kita berlakon terlalu jadi Mat Kilau, bersilat saja kerjanya...jadi, macam saya ini jadi macam aduh..."

Kata Azamin, ada ketikanya dia menjadi begitu fobia untuk menerima tugasan sedemikian rupa.

"Kadang Lutfi akan memberitahu saya, ini keluarga susah. Dalam hati saya kata ‘alamak’. Sebab itu saya sampai fobia dan sampai sekarang saya kurang tengok rancangan Bersamamu, saya tak sanggup.

"Terlalu menyentuh hati dan perasaan saya, bila saya tengok saya akan marah. Siapa jiran dia ini, siapa wakil rakyat dia sampai boleh masuk rancangan Bersamamu, dan macam ini jugalah bila Lutfi hantar saya ke tugasan sebegini,” kata Azamin.

Pertemuan terakhir

Bagaimanapun, mengenali insan istimewa bernama Lutfi ini bagi Azamin satu rahmat yang tak ternilai.

Lutfi telah berjaya membentuk peribadinya menjadi seorang manusiawi.

"Dia ini orang yang lembut hati, lepas itu adab dia tinggi, dia soft-spoken, dia bukan orang yang retorik bila bercakap dan dalam banyak-banyak orang yang saya jumpa ini dia adalah orang yang sangat rendah diri dan dia juga boleh masuk dengan semua orang.

"Dia boleh bergaul dengan pelbagai kaum, dia boleh masuk dengan orang PAS, musuh pun dia berkawan, dia tak kira. Jadi, senang. Dia juga mewakili watak orang Kedah "hemoi".

"Hemoi ini macam muka orang tak malu, muka tebal," katanya diiringi tawa.

Cerita Azamin, dulu dia juga sama seperti yang lain adakalanya akan berselisih pendapat.

Namun, dek kerana sikap "hemoi" Lufti sesuatu perselisahan jarang berpanjangan.

"Kami juga pernah berselisih pendapat pasal isu tertentu tetapi akhirnya dia yang pujuk, kadang dia datang tegur balik. Kita kadang tak gamak, kita kadang bila dah berkrisis ini akan ambil masa tapi dia tak ada.

"Dia hemoi. Itu yang baiknya dia, cuba tanya musuh-musuh dia, Zul Sulung pun ‘musuh’ dia tu, tapi itu dululah,” katanya.

Bercerita saat akhir pertemuan dengan Allahyarham, Azamin berkata Lutfi ada datang berkunjung ke rumahnya di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Dia yang datang ditemani seorang lagi rakan bersungguh-sungguh mahu Azamin merasa nasi beriani buatannya.

"Dia nak suruh saya rasa. Dia datang dengan kawan dia ajak saya pergi minum, kebetulan masa itu pun saya tak berapa sihat tapi dia paksa juga saya keluar, jom makan katanya.

"Dia ini tak reti penat, dia kata kalau boleh nak berjalan hari-hari sampai dia kata orang pun takut tengok dia. Dia jatuh berapa kali, pengsanlah dan dia kata sampai nak kena serangan jantunglah.

"15 tahun dia di pusat dialisis, separuh daripada kawan-kawan dia habis (meninggal) dah katanya dan itu juga membuatkan dia sentiasa bersedia (berdepan kematian).Dia juga kata dia tak memikirkan jauh, untuk esok pun belum tentu lagi. Dia hanya fikirkan untuk esok, hari ini kalau boleh makan, alhamdulillah," katanya.

Semangat itulah yang ditinggalkan Lutfi buat Azamin.

Jelas Azamin lagi, sikap Lutfi yang tidak pernah bercerita perihal orang lain, walaupun dia berkrisis dengan mana-mana pihak susah untuk ditemui pada orang lain.

"Kadang dia pergi belah Umno ke belah PAS, dia dengar saja, dia meraikan orang. Itu sikapnya yang sebenarnya tak ramai orang boleh ikut.

"Dia raikan semua idealogi, fahaman, dia willing untuk mendengar walaupun kadang-kadang dia tak bersetuju tpi dia willing untuk mendengar, itulah Lutfi yang saya kenal," katanya.

Menyentuh soal syarikat Allahyarham pernah berkhidmat pula, Azamin berkata orang tidak akan melihat Harakah sebagai lidah rasmi parti PAS.

Sebaliknya, orang tahu ia adalah wajah Lutfi.

"Lutfi punya ayat kalau muka depan Harakah, orang akan tahu dia bukan bunyi parti PAS, bukan politik tapi orang tahu ini bahasa-bahasa Lutfi.

“Dia lain sikit, dia lebih kepada jiwa rakyat, suara rakyat. Kadang, wajah Harakah itu dia tak jadi wajah PAS. Memang ada polisi PAS, ada cerita PAS tapi yang banyaknya lebih kepada suara rakyat. Dia lain sikit, itu yang saya faham," tambahnya.

Lutfi, yang juga bekas tahanan ISA itu menulis pelbagai buku dan artikel berkenaan politik negara, dan diterbitkan di tengah keterbatasan media yang menyaksikan salah satu daripada majalah dwibulanan yang diterbitkannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perjuangan Lutfi ke arah kebebasan media turut menyaksikan penubuhan ‘Kumpulan Aktivis Media Independen’ (Kami) bersama beberapa lagi aktivis lain.

Pada 2016, Lutfi menerbitkan salah satu buku terakhirnya, bertajuk Lorong Sunyi Media Bebas.

Ia merupakan himpunan 24 rencana karangannya dan 54 artikel berkenaannya oleh para penulis lain termasuk editor-editor veteran dan juga anaknya, Ahmad Luqman Hakim.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.