https://critoxium.com/shop/

Terkini

PBM akan lemahkan kedudukan BN, kata penganalisis


PETALING JAYA: Dua penganalisis menyifatkan Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai parti yang tidak akan menambah nilai kepada Barisan Nasional (BN) jika menyertainya.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, parti baharu Zuraida Kamaruddin itu akan melemahkan kedudukan BN disebabkan keahliannya yang sedikit dan pengaruhnya yang boleh dipersoalkan.

“BN perlu serah beberapa kerusi pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) jika menerima PBM,” kata Azmi kepada FMT.

Tambahnya, akar umbi Umno dan mereka yang mahu menjadi calon tidak akan gembira menyerahkan kerusi.

“Tiada juga bukti statistik bahawa pemimpin PBM akan dapat mengekalkan kerusi yang dipegang sekarang kerana mereka memenanginya dengan tiket berbeza sebelum melompat ke PBM,” kata Azmi.

Zuraida, yang kekal dalam Jemaah Menteri walaupun selepas dilantik sebagai pengganti presiden bagi PBM, baru-baru ini berkata parti itu memohon menyertai BN bulan lepas.

Bersatu menggesa perdana menteri memecat Zuraida dan memberikan jawatannya kepada wakil parti lain.

Jeniri berkata, jika BN menerima PBM, ia akan memakan diri, khususnya di kawasan bandar di mana, menurutnya, Zuraida dan pemimpin PBM lain dilihat sebagai tidak berprinsip.

“Jika BN terima atau bekerjasama dengan PBM, bermakna ia sangat terdesak,” katanya.

Presiden PBM ialah Ahli Parlimen Julau Larry Sng manakala Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong menjadi naib presiden. Bersama Zuraida, mereka pernah menjadi ahli PKR.

Selasa lepas, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata, kerjasama dengan parti seperti PBM dan DAP tidak mungkin dijalin kerana mereka terdiri daripada “penipu dan pengkhianat”.

Beliau berkata, langkah menerima parti-parti itu akan menyebabkan pengundi Melayu “tawar hati” dengan BN atau Umno dan berpaling ke arah parti lain seperti gabungan terbaru diasaskan Dr Mahathir Mohamad, Gerakan Tanah Air.

“Jika dia (Zuraida) mahu sokong BN, kita alu-alukan. Tetapi kerusi kita tidak akan bagi,” kata Isham dalam catatan di Facebook.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.