https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lutfi :Tokoh Wartawan Rakyat

Pada tahun 2019, beberapa orang aktivis berkumpul untuk membincangkan penganugerahan kewartawanan tanah air. Perjumpaan ini mungkin didorong rasa tidak selesa terhadap hakikat bahawa “suara arus perdana” tetap dinobatkan sungguhpun rejim lama BN telah ditumbangkan, pada ketika itu.

Dengan bahasa lebih mudah, aktivis wartawan yang selama ini merempuh akta draconian dengan kritikan terhadap sang penguasa, memperjuangkan Malaysia yang lebih adil dan bebas – tidak menerima pengiktirafan sewajarnya, setelah matlamat itu dicapai secara simbolik dengan rejim korup dan zalim dijatuhkan. Sebaliknya, muka-muka lama yang mempertahankan status quo hanya perlu “menyucikan diri” dari dosa-dosa dengan menyeberang ke “kem baru”. Mereka kekal segak dan berseri di depan kamera, sambil menuai hasil perjuangan aktivis yang berhempas pulas membangunkan media alternatif, malah menanggung risiko demi perubahan.

Lebih pedih, wacana yang jumud, konservatif, malah berbaur perkauman dan fahaman sempit, tidak digantikan dengan pengisian hujah yang lebih segar, kritis dan progresif. Bagaimana politik tanah air mara ke depan, andainya perlu bergelumang dengan lumpur wacana yang keruh, melekit dan mengotorkan? Untuk saya, penganugerahan kewartawanan harus dirancang ke arah merungkaikan masalah ini.

Apabila masuk bab pencalonan Tokoh Wartawan Rakyat, tanpa ragu-ragu saya mencadangkan nama Ahmad Lutfi Othman, sungguhpun dengan penuh sedar bahawa arwah sudah hampir berhenti menulis sejak beberapa tahun kebelakangan. Terbelenggu dengan keuzuran, dibataskan pula dengan pergerakannya, jelas kelihatan bahawa pena Ahmad Lutfi tidak lagi setajam dahulu, malah pergolakan politik dan peredaran zaman terlalu pantas untuk generasinya, sehingga tercungap-cungap dikejarnya.

Mengapa Ahmad Lutfi?

Nama Ahmad Lutfi dengan Harakah berpisah tiada, sungguhpun arwah secara rasminya meninggalkan wadah itu pada Februari 2015, setelah beberapa kali keluar masuk organ PAS ini. Perlu diingatkan, bahawa Lutfi juga penerbit dan pengarang untuk puluhan naskah buku, akhbar dan majalah bebas, yang sebahagiannya diharamkan, khususnya pada zaman pemerintahan perdana menteri keempat, Mahathir Mohamad.

Tidak keterlaluan andainya dikatakan bahawa sosok arwah umpama sebuah kamus yang merakamkan sejarah pencabulan kebebasan bersuara tanah air, untuk satu peringkat tertentu dalam sejarah Malaysia. Kita mungkin tidak terkesan dengan penindasan sedemikian pada zaman ledakan maklumat hari ini, namun suasananya jauh berbeza dua dekad lalu. Malah cara Ahmad Lutfi melawan untuk mempertahankan hak bersuaranya, amat layak untuk dibukukan.

Bagaimana suasana masyarakat ketika itu? Menggunakan bahasa Ahmad Lutfi sendiri, arwah pernah terlintas idea untuk mengusung keranda sebagai tanda protes terhadap kematian kebebasan bersuara, tetapi gagal mencukupkan empat orang untuk aksi itu. Cuma, putus asa bukan pilihan Ahmad Lutfi. Arwah terus melawan dengan cara tersendiri. Jikalau terbitannya diharamkan, maka dipohon yang baru. Jikalau permohonan permit penerbitan baru tidak diluluskan, maka Ahmad Lutfi menerbitkan tabloid tidak berkala dengan nama yang berbeza. Arwah tidak gentar untuk naik turun mahkamah, jikapun pendedahan dan laporannya disabitkan pertuduhan.

ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu mungkin teruja untuk mendepani pencabar sedemikian. Pelbagai syarat yang tidak masuk akal dikenakan, misalnya lidah parti hanya boleh dijual di premis parti, dan dijual kepada ahli parti sahaja. Malah kadang-kala disusuli dengan taktik perang saraf. Menurut apa yang pernah diceritakan arwah, satu gerai disita, kemudian dihebohkan dalam kalangan vendor – siapa lagi sanggup menanggung risiko denda sehingga RM10,000, hanya untuk komisen 20 hingga 40sen senaskah tabloid yang dijual? Itu pun belum diambil kira kos masa yang tercurah sepanjang perbicaraan di mahkamah.

Kita diperlihatkan bagaimana satu strategi tersusun dirangka, malah satu institusi dibina untuk memastikan Ahmad Lutfi, juga rakan seperjuangannya tidak bergerak ke mana. Lutfi memilih untuk bertempur, sebagaimana arwah bertempur dengan kesakitan dan keuzurannya pada tahun-tahun di penghujung hayatnya. Kebanyakan masanya, kita menumpang kejayaannya, tetapi arwah pula yang menanggung sendiri kekalahannya.

Malaysia hari ini tepu dengan berita, benar atau palsu; bingit dengan suara, bernas mahupun kosong. Tetapi jangan sesekali kita lupa, bahawa kebebasan bersuara yang kita kecapi hari ini, sama ada kita gunakan sebaik-baiknya dengan penuh bertanggungjawab, ataupun disia-siakan dengan perkongsian berita palsu, adalah hasil perjuangan aktivis-aktivis yang berprinsip dan berani. Ahmad Lutfi antara nama yang terkedepan dalam senarai aktivis ini. Untuk itu, rakyat Malaysia yang mendahagakan kebebasan bersuara, terhutang budi dengan sosok bernama Ahmad Lutfi.

Berlapang dada untuk meraikan kepelbagaian

Dengan latar belakang yang sukar terpisah daripada Harakah dan PAS, mungkin Ahmad Lutfi dianggap tidak lebih sebagai seorang pengarang lidah parti, dari kaca mata sesetengah orang. Penilaian ini sedikit meleset andainya diperincikan konteks zaman Ahmad Lutfi, juga sikap arwah ketika mengemudi organ parti, mahupun media alternatif yang dikelolainya.

Pertama, gerakan sosial hampir disamakan dengan gerakan politik pembangkang, sebelum dipisahkan secara beransur-ansur selepas “Tsunami Politik” membadai pada 8 Mac 2008. Pada zaman ketika Barisan Nasional menguasai majoriti dua pertiga dalam parlimen, masyarakat sivil berkongsi nasib yang sama dengan pembangkang. Menuntut ruang politik yang lebih demokrasi, adil dan bebas, menjadi agenda bersama pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kedua, meskipun nama Ahmad Lutfi begitu rapat dengan Harakah, arwah cenderung untuk menjadikan lidah parti ini sebagai “media alternatif”, dan bukan penyebar propaganda parti semata-mata. Lutfi berfikir lebih jauh daripada sesetengah pemimpin parti, bahawa “You (PAS) nak menang dalam pilihan raya, bukan nak buat revolusi”. Dengan kata lain, anda berhujah untuk mengolah restu rakyat. Maka arwah cuba memastikan sedaya upaya bahawa idea yang disajikan organ parti ini, mampu bersaing dengan idea-idea yang ada dalam pasaran.

Ketiga, hujah di atas bukan retorik Ahmad Lutfi, tetapi pegangan yang diterjemahkan kepada pelaksanaan. Arwah berminat dengan perspektif baru, sesuatu yang tidak semestinya disetujuinya, tetapi dihargainya. Saya terkesan dengan sikapnya ini kerana ketika saya memuat naik tulisan dalam MerdekaReview, portal media yang saya kendalikan lebih sedekad dahulu, dengan cepat arwah memetiknya, jikalau ia memperlihatkan sisi yang berlainan, atau hujah yang bernas. Barangkali disebabkan keupayaan saya yang sedikit itu untuk menawarkan perspektif yang berbeza (lantaran pendedahan kepada ruang wacana bahasa Cina), arwah terus menjadikan saya kolumnis Harakah, sebelum MerdekaReview gulung tikar pada tahun 2012.

Keempat, saya amat yakin bahawa tidak semua pandangan saya dipersetujui arwah, sebagaimana tidak semua pandangannya saya terima. Namun, saya perlu bersikap adil dan jujur di sini, bahawa dalam kebanyakan masanya, arwah tidak mengusik tulisan saya, meskipun mungkin tidak bersetuju dengan apa yang saya ketengahkan.

Sikap berlapang dada inilah yang membuatkan saya kagum dengan arwah. Malah keterbukaan inilah yang mengingatkan saya, agar sentiasa beradab ketika mengutarakan pandangan, sungguhpun kita terpaksa tidak bersetuju antara satu sama lain. Saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan rasa hormat ini berlaku dalam dua hala, dan sentiasa yakin bahawa satu hari nanti, dialog yang rasional dengan sikap yang matang boleh mengambil tempat di Malaysia, bumi yang sarat dengan kepelbagaian agama, kaum, budaya, bahasa dan lain-lain.

Berlatarbelakangkan zaman yang lebih canggih teknologinya, kita sebenarnya memiliki syarat yang lebih baik berbanding Ahmad Lutfi pada zamannya. Tepuk dada tanya selera, berapa nama dalam kalangan kita yang mampu melakukan lebih daripada apa yang dilakukan arwah?

Tidak berdendam

Untuk saya, nama Ahmad Lutfi tetap terpahat, sama ada diberi pengiktirafan secara rasmi atau tidak. Jasa arwah tidak terpadam, sama ada dalam perjuangan menuntut kebebasan bersuara, mahupun melonjakkan kedudukan PAS, pada satu peringkat sejarah tertentu. Arwah sentiasa datang dengan teguran dalam kolum Catatan Hujung-nya (Harakah), supaya “skru yang longgar diketatkan”, sebelum jentera masuk ke medan perang (pilihan raya).


Sebagai kenalan Ahmad Lutfi, saya merasai kesedihan arwah ketika diserang dengan cemuhan di media sosial, lantaran daripada perpecahan dalam PAS pada hari-hari akhir arwah berkhidmat di Harakah, juga selepas arwah berundur. Lebih pedih, apabila netizen yang maki hamun itu adalah rakan arwah yang dikenalinya. Tidak sampai hati melihat apa yang menimpanya, sengaja saya menghantar bola tanggung dalam satu wawancara, memberi kesempatan agar arwah meluahkan perasaannya, dengan soalan berbunyi, apakah pengalaman yang paling mengguris hati sepanjang saudara berkhidmat di Harakah?

Arwah mengisahkan segala pengalaman yang menyeronokkan, ketika bertugas dengan rakan sepejabat, melakukan kerja-kerja yang disukainya. “Tiada apa yang mengguris hati, segalanya pengalaman penuh bermakna sementara diberi kesempatan menarik nafas di bumi Allah ini,” jawab arwah.

Saya tersentak ketika itu, dan saya terkesima ketika menyelak semula wawancara itu pada saat-saat ini, 48 jam selepas arwah Ahmad Lutfi meninggalkan kita.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.