https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Sekotak' minyak masak jadi umpan penyeludup


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - 

 KETIKA isu minyak masak subsidi terus mencengkam kehidupan rakyat, ironinya ia tidak berlaku di sebelah 'pagar' Malaysia-Thailand, iaitu Golok.

Lebih malang lagi, minyak masak subsidi yang menjadi rungutan ramai pengguna kerana sukar didapati di pasaran, seolah-olah berlambak di pekan itu.

Sebenarnya, lambakan minyak masak subsidi yang dianggap 'limpahan' akibat ketirisan itu bukan isu baharu, sebaliknya berlaku sejak subsidi diperkenalkan 15 tahun lalu.

Malah, berdasarkan cakap-cakap warga tempatan, minyak masak dari negara ini sudah diseludup ke Thailand sebelum subsidi diperkenalkan lagi kerana perbezaan harga yang lebih murah.

Sebagai wartawan bertugas di Kelantan sejak hampir 10 tahun, boleh dikatakan setiap tahun penulis akan membuat tinjauan bekalan minyak masak di Thailand. Hasilnya masih sama dari dahulu hingga sekarang.

Justeru, penulis sekali lagi menjalankan tugas 'rutin' itu minggu lalu, tetapi kali ini, 'mencuba nasib' dengan meminta kebenaran daripada pasukan keselamatan menaiki bot menyeberangi Sungai Golok. Apatah lagi, pasport juga sudah tamat tempoh.

Bagaimanapun, permintaan penulis ditolak kerana mengikut anggota terbabit, kawalan sempadan ketat sehingga memungkinkan penulis boleh ditahan pihak berkuasa. Oleh itu, penulis akur dan membuat pas sempadan bernilai RM10, sekali gus menggunakan pintu sempadan yang sah.

Apabila sampai di Golok, tinjauan memang seperti tahun sebelumnya kerana hampir kebanyakan kedai menjual minyak masak subsidi dari negara ini. Malah, kedai runcit kecil pun tetap mempunyai banyak stok dan tentu berbeza dengan senario di tanah air apabila pengusaha terpaksa mengehadkan jumlah pembelian kepada pelanggan.

Dakwa terima stok dari orang tengah

Seorang peruncit mendakwa dia menerima stok daripada orang tengah atau pemborong dengan harga RM105 hingga RM107 sekotak sedangkan harga diletakkan kilang RM41.31.

Bayangkan satu kotak sahaja, keuntungan diraih daripada jualan haram itu antara RM63.69 hingga RM65.69. Berapa agaknya laba itu jika membabitkan ribuan kotak dan ia berterusan hingga bertahun-tahun?

Di Golok, minyak masak itu digunakan semua lapisan masyarakat, termasuk peniaga kerana ia dijual antara RM6.50 hingga RM7.50 sepaket, sekali gus jauh lebih murah berbanding minyak mereka, iaitu RM9.50 hingga RM10 sebotol bagi sekilogram.

Agak melucukan juga alasan warga tempatan negara itu yang meminta isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kononnya orang Malaysia juga menggunakan beras Siam setiap hari sejak sekian lama.

Penulis sempat bersembang dengan seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Mat untuk mengetahui modus operandi menyeludup minyak masak memandangkan pasukan keselamatan mendakwa kawalan ketat dilakukan.

Taktik penyeludup patut disiasat

Mat mendedahkan mereka menggunakan kaedah 'mengumpan' sejumlah minyak masak dengan kuantiti kecil untuk dirampas pihak berkuasa, sedangkan sejumlah kuantiti lebih besar diseludup ketika pasukan keselamatan 'leka' dengan rampasan berkenaan.

Contohnya, 10 kotak minyak masak sengaja ditempatkan di suatu lokasi agak senang ditemukan pihak berkuasa, manakala lebihan 50 kotak lagi sudah tersedia diseludup apabila sudah menerima isyarat selamat bagi meredah Sungai Golok. Harapnya, pihak keselamatan dapat menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

Penulis juga cuba meninjau sejauh manakawalan ketat di Sungai Golok seperti dikatakan pihak berkuasa kerana ada pegawai polis bertugas di sempadan menghantar gambar kepada penulis menunjukkan tiada pergerakan di sungai berkenaan.

Dalam tinjauan itu, penulis dapati bot penambang bergerak seperti biasa untuk mengambil penumpang ke Munduk, Thailand dan bertanyakan penduduk sekitar mengenai sejauh mana kawalan ketat dibuat pihak berkuasa atau apakah ada yang ditahan.

"Boleh lalu, jangan risau tak ketat pun kawalan, semalam saja untuk beberapa jam tak boleh lalu sebab ada pegawai polis datang untuk ambil gambar. Tengok ni penuh kereta orang pergi ke Munduk," kata seorang penduduk yang enggan dinamakan.

Berdasarkan tinjauan penulis ke Golok dan kawasan 'laluan tikus' itu, masih banyak perlu dilakukan pihak berkuasa jika mahu isu penyeludupan minyak masak dari negara ini dapat diatasi, sekali gus menutup lubang ketirisan yang berlaku dalam rantaian produk.

Pada masa sama, ketangkasan Pasukan Jihad Tangani Inflasi dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut diharapkan kerana beliau sebelum ini mendedahkan ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand didalangi pihak tertentu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut pihak itu, tetapi menegaskan ada bukti cukup hasil siasatan dilakukan.

Annuar juga memberi amaran supaya pihak berkenaan menghentikan perbuatan itu dan kerajaan tidak teragak-agak merombak semula keseluruhan sistem bekalan minyak subsidi sedia ada sekiranya ketirisan itu masih berlaku.

Kesimpulannya, untuk mengatasi ketirisan minyak masak subsidi ini atau apa-apa barang subsidi sekali pun bukan perkara senang selagi ada pihak rakus mengaut keuntungan dan kawalan sempadan juga tidak seiring seperti dikata.

Justeru, pihak berkuasa dan Pasukan Jihad Tangani Inflasi diharapkan benar-benar serius menangani masalah ini kerana kejayaan dapat diukur sekiranya penyeludup atau orang tengah tidak lagi berani menyeludup minyak masak ke Thailand.

Penulis adalah Wartawan BH

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.