Angin ‘perubahan’ belum kuat tukar Pas di Kelantan?
KOTA BHARU: Angin ‘perubahan’ untuk menukar tampuk pentadbiran Pas dilihat sudah melanda negeri ini namun dikatakan belum cukup kuat untuk berbuat demikian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, golongan berpendidikan dilihat masih lagi mencari parti yang mampu memberi jaminan sedia ada sepertimana dipraktikkan oleh Pas.
Katanya, ia turut meliputi tambahan syarat seperti menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan asas antaranya jalan raya, air dan perumahan mampu milik.
“Rata-rata rakyat yang berpendidikan sebenarnya sudah letih untuk merantau mencari pekerjaan di luar negeri ini.
“Ditambah dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi berbanding di negeri sendiri,” katanya di sini.
Iskandar Hasan yang merupakan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang berkata, majoriti rakyat memerlukan infrastruktur dan kemudahan asas yang perlu dipertingkat untuk kesejahteraan mereka.
Katanya, rakyat sudah mula melihat tuntutan sebagai negeri serambi Mekah yang menekankan kepada melahirkan para agamawan tetapi perlu diseimbangkan dengan tuntutan kehidupan dunia yang semakin mencabar ketika ini.
“Ia melibatkan soal keupayaan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu sosial seperti penyalahgunaan dadah, gejala sosial dalam kalangan anak muda dan sebagainya yang dilihat seolah-olah tiada kesudahan,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.