https://critoxium.com/shop/

Terkini

Semua gabungan tidak mantap untuk hadapi pilihan raya


 Oleh Mohd Sayuti Omar

KETIKA kian hampirnya pilihan raya umum ke-15, keadaan dan suasana politik makin celaru, huruhara dan tidak menentu. Kenyataan yang dikeluarkan daripada para pemimpin politik baik secara persendirian atau mewakili parti atau gabungan, menunjukkan keadaan yang tidak harmonis. Ia saling bercanggahan antara satu sama lain. 

Percanggahan itu menunjukkan tidak konsenkuensi mereka dalam menangani senario politik hari ini. Kondisi itu juga menggambarkan pilihan raya akan datang akan berlangsung dalam ketidaktentuan arahan. Tidak ada mana-mana gabungan atau parti politik yang kompak. Ini sedikit sebanyak boleh mengelirukan orang ramai, atau pengundi untuk membuat pilihan tepat. 

Justeru munasabahlah kalau orang berpendapat dalam pilihan raya akan datang tidak ada mana-mana parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian. Tidak ada mana-mana koalisi yang boleh menubuhkan kerajaan tanpa bergabung dengan pihak-pihak lain.

Daripada tiga gabungan besar, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), walaupun mereka nampak sekata dan tidak berubah daripada ketetapan yang wujud kini, tetapi dalaman masing-masing ada masalah tersendiri. Didasar lautan politik masing-masing ada "zombi" yang tidur. 

Hakikat itu tidak boleh ditusuk selindung. Kehampakan dan kekohongannya makin berbau. Dalam hal ini BN yang ditulangi Umno menghadapi masalah sangat parah. Parti tertua itu tidak solid dalam persediaan untuk berpilihan raya.

Situasi ini berlaku buat pertama kali kepada UBN sejak ia tertubuh dan melalui 14 kali pilihan raya umum. Keparahannya kian tambah menderitakan lagi apabila bekas presiden mereka Najib Razak sudah disumbat ke dalam penjara 12 tahun. Najib yang sebelum ini dijadikan denak dan umpma tidak lagi dapat berlari atau menjelajah ke tempat-tempat awam untuk meraih sokongan buat UBN seperti mana dalam Pirane Melaka dan Johor.

Bangsawan.

Walaupun Najib dianggap memberi liabiliti kepada UBN tetapi kehadiranya tetap memberi impak tersendiri khasnya kepada Melayu yang masih mengagungkan dan menyifatkan golongan bangsawan sebagai golongan mula yang patut ditaati dan tidak boleh diderhaki meskipun kesalahannya fatal. 

Kini apa yang termampu Najib lakukan (mungkin) mengeluarkan mesej daripada tirai besi untuk mengharap sokongan. Apabila tiba pilihan raya nanti maka akan adalah surat-surat atau risalah rayuan daripada penjara yang penuh menghiriskan sukma dan pilu.  

Keparahan dan kucar kacir dalam Umno juga terpamer semisalnya dalam menentukan tarikh pilihan raya. Untuk perkara ini sahaja parti itu berkecamukan. Setengah ada yang mahu pilhan raya disegerakan, sementara yang lain mahu dilewatkan kalau boleh sehingga ke tahun depan sampai rapat ke penggal ke-14. 

Pertentangan ini wujud disebabkan ada dua kumpulan yang ketara dalam parti itu. Satu kumpulan mereka yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan yang juga merupakan kumpulan berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah, dinamakan kumpulan kluster mahkamah.

Kumpulan ini mengira waktu sekarang ini merupakan feel good factor kepada UBN untuk menang. Hujah mereka kejayaan UBN di Melaka dan di Johor sebagai jaminan. Walhal umum mengetahui kenapa mereka tergesa-gesa untuk berpilihan raya kerana untuk melepas jerut hukum di leher mereka. Mereka mengira kalau UBN menang, mereka akan terselamat segala hukum dan pendakwaan termansuh.

Kehendak golongan ini yang lebih untuk kepentingan mereka berbanding dengan kepentingan Umno sendiri, ditolak oleh golongan kedua, yakni mereka yang memegang jawatan dan berada dalam kerajaan. Golongan ini diketuai Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dinamakan golongan kluster Putrajaya. Bagi golongan ini mereka selesa dengan keadaan yang ada kini kerana mereka mendapat sudah laba politik. 

Dengan menggunakan alasan kestabilan negara, mereka tidak mahu pilihan raya diadakan segera. Dalam pada itu mungkin juga mereka mengira, kalau diadakan pilihan raya ketika ini sewaktu kluster belum disumbat ke dalam penjara atau kesnya diselesaikan ia memberi kesan buruk kepada UBN dalam pilihan raya kelak.

Kondusif. 

Maka mereka perlu menunggu keputusan mahkamah ke atas mereka itu selesai baru memikirkan soal Piraum. Penyelesaian itu sama ada mereka (golongan gluster mahkamah) terhukum atau bebas dikira lebih kondusif untuk UBN berhadapan dengan pilihan raya.

Golongan kluster mahkamah ini menggunakan premis ketua-ketua Umno bahagian untuk mendesak Ismail Sabri agar menyegerakan pilihan raya. Tidak cukup dengan itu, menggunakan MT dengan bersandarkan atas desasakan ketua-ketua Umno bahagian, menekan Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan parlimen. Satu taklimat khas ketua-ketua Umno bahagian diadakan dan meluncurkan desak perdana ke atas Ismail Sabri. 

Dalam hal ini Ismail Sabri bersikap lembu kenyang sahaja tidak memberi reaksi lebih kepada desakan itu. Beliau hanya mengambil sikap dan perangai beruk atau kera, yang hanya mengangguk, tetapi hakikatnya tidak sedia mematuhinya. Beliau seperti akur dengan kehendak kluster mahkamah dan desakan ketua-ketua Umno bahagian, tetapi tidak mudah untuk beliau bertindak demikian. Ismail Sabri sudah pandai berpolitik?

Walaupun desakan kemuncak tersebut sudah berlalu seminggu, namun belum ada komitmen daripada Ismail Sabri secara sahih untuk membubar parlimen. Beliau malahan masih berteka teki yang persoalannya dilontarkan oleh orang-orang tertentu seperti menerusi Anuar Musa yang mengatakan pilihan raya bukan jalan penyelesaian. Semua itu adalah isyarat bahawa Ismail Sabri tidak sedia mematuhi dan melayani desakan golongan itu.   

Mengenangkan apa yang berlaku dalam Umno yang mengharap agar parlimen dibubarkan, tak ubah seperti sekumpulan penduduk yang hendak korbankan lembu pada raya Haji. Lembu sudah pun diberkas, kaki, tanduk sudah ditambat dan ekor sudah ditarik. Bahkan lembu pun sudah tumbang, tetapi belum disembelihnya.

Tukang sembelih masih belum sampai. Dalam konteks ini yang menjadi tukang sembelihnya Ismail Sabri. Pisau atau golok ditangan beliau yang jadi tukang sembelih, terpulang kepadanya bila masa untuk dia memotong leher lembu itu. 

Selagi beliau tidak sedia memotong leher lembu itu, bermakna lembu itu tidak dianggap sudah terkorban. Nah, begitu juga kalau Ismail Sabri tidak sedia menghadap Yang di-Pertuan Agong maka parlimen tidak akan dibubarkan. Seribu kali Umno mengadakan taklimat khas ia tidak akan menggugurkan parlimen. Sementara buatlah desakan dan bantahan atau kecaman kepada Ismail Sabri, beliau tetap tenang sahaja kerana pisaunya berada dalam genggamannya. Orang lain hanya boleh menjerit dan berhisteria sahaja. 

Itu suasana dalam Umno. Sementara suasana dalam parti atau gabungan lain juga ada hambatan tersendiri. Seperti dinyatakan tadi, bahawa semua parti tidak solid untuk menghadapi pilihan raya. Masing-masing belum ada konsesnsus konkrit macam dan bagaimana mereka akan berhadapan dengan pilihan raya kali ini. Formula dan strategi masih diatur dan dicaturkan untuk memastikan akan memperolehi kemenangan. 

Masing-masing gabung baik PN, atau PH tahu yang mereka belum ampuh dan kuat untuk menghadapi pilihan raya.  Atas kesedaran bahawa tidak ada mana-mana parti dominasi, maka semua gabungan memerlukan pakatan atau pun kolaborasi dengan pihak lain. Kolaborasi ini penting bagi mencukupkan korum sekurang-kurang 112 kerusi bagi membentuk kerajaan simple majoriti. Sebab itu gabungan ini dilihat tidak ghairah untuk berpilihan raya.

Bagi parti di luar UBN apa yang mereka harapkan ialah tidak berlaku perlawanan tiga penjuru kerana kalau ia berlaku, BN lebih berpeluang berbanding dengan mereka, PN dan PH, khususnya dalam kategori undi Melayu. Lantaran itu Mahiaddin Yassin sedang berusaha bagaimana memastikan hanya berlaku perlawanan dua penjuru sahaja dengan BN agar undi Melayu tidak dipecah pecilkan. 

Kerana menyedari situasi itulah Pengerusi PN, Mahiaddin Yassin membayangkan mengajak PH untuk berkerjasama. Beliau masih mencari pendekatan untuk bergabung dengan PH. Pengerusi PN itu faham kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, di antara BN, PN dan PH, bukan mudah untuk menafikan BN daripada berkuasa sedang beliau sangat alergik kalau UBN berkuasa. Baginya melihat BN berkuasa semula samalah akan melihat kembalinya kezaliman dan kekebobrokan dalam negara ini yang pernah diselamatkan beliau.

Lantaran itu beliau telah membuka pintu rundingan dengan pihak lain, dalam hal ini dengan PH.  Bagaimana pun tawaran Mahiaddin itu awal-awal ditolak oleh PH. Beberapa orang pemimpin parti dalam gabungan PH khususnya PKR dan DAP mengatakan tidak kepada PN. Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli awal-awal enggan menyatukan parti itu dengan mana-mana kumpulan. Beliau lebih yakin PKR bersama PH bertanding secara bersendirian. Bagaimana pun presiden PKR Anwar Ibrahim lebih mendiamkan diri dan terbuka dalam kolaborasi mencari kemenangan ini.

Pemimpin DAP juga mengatakan tidak, dengan mengimbau kembali peristiwa langkah Sheraton yang dianggap pengkhianatan kubra Mahiaddin. Bagi DAP sukar untuk mereka menerima kembali Mahiaddin sebagai rakan gara-gara peristiwa itu. Bagi DAP kejatuhan kerajaan PH bukan sahaja kerana politik "bipola" Mahathir Mohamad tetapi politik khianat dan munafik Mahiaddin. 

Apabila PH tidak bersedia untuk berkolaborasi dengannya, menyebabkan PN kini hilang akal. Mahiaddin berada dibendul kecemasan akan tewas. Mahiaddin tahu, jika ia hanya bersama Pas, parti itu tidak akan ke mana. Pas mungkin berpengaruh di Kelantan, Terangganu dan Kedah, tetapi tidak di negeri-negeri lain. 

Sokongan Pas, Gerakan atau Star untuk Bersatu di negeri-negeri lain tidak dapat menambahkan undi dan membawa kemenangan. Kewujudan mereka dalam kontesk politik melawan PH dan BN hanya melukut di hujung gantang semata-mata. Atau debu lada sulu yang hanya boleh memedihkan mata tetapi tidak membutakan mata. 

Kesimpulan kalau Bersatu hanya dengan Pas, Gerakan dan Star ia tidak memberi kemenangan sebaliknya penyertaaan mereka dalam pilihan raya boleh menjejaskan harapan PH dan keadaan itu memberi keuntungan kepada BN sedangkan hakikatnya apa yang lebih disukai Mahiaddin PH yang menang. 

Situasi inilah yang menghantui Mahiaddin kini. Apa yang menyedihkannya kalau PN setakat memapu menjejaskan PH dan memberi kemenangan kepada BN ia tidak ubah seperti orang menjolok buah, terjolok buah buruk kemudian jatuh pula menimpa hidung sendiri. 

Bukan itu sahaja jalan untuk PN bersama PH disulitkan lagi dengan sikap Pas yang tidak mahu bertolakansur dengan DAP dan PKR. Pas memberi alasan mereka tolak DAP kerana menganggap parti itu sebagai parti extream. Walaupun ada para pemimpin Pas tidak boleh menerima Pati Amanah Negara (Amanah), tetapi sebahagian lain mereka bersikap terbuka dan sedia menerima Amanah demi kemenangan. 

Masalah juga berlaku dalam Pas. Para pemimpin parti itu juga tidak sekata dalam membuat keputusan atau mencari regu dalam berpilihan raya. Beberapa pemimpin masih mengharapkan mereka bersama Umno menerusi Muafakat Nasional (MN). Misalnya Pas Selangor mengharap mereka diberi keizinan untuk bekerjasama dengan Umno kerana yakin kerjasama itu boleh menafikan PKR dalam pilihan raya akan datang dan seterusnya Pas dan Umno membentuk kerajaan di Selangor. 

Mereka sangat berharap agar Pas Selangor diberikan atonomi untuk memikirkan jalan terbaik menghadapi pilihan raya. Bagaimana pun harapan itu mungkin musnah apabila Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah "bersabda" bahawa tidak akan ada atonomi. 

Katanya tidak boleh diberikan atonomi untuk sesetengah negeri, kerana kalau hendak kerjasama mesti di seluruh peringkat dan negeri bukan disetengah negeri sahaja. Beliau juga menyatakan pendirian tegas Pas sedia melawan Umno kalau parti itu berhajat demikian. "Lawan boleh berkawan pun boleh," katanya. Kenyataan atau padangan Tuan Ibrahim itu waras tetapi tidak bersifat politiking. 

Pertantangan pendapat dalam Pas dalam menerima Umno atau untuk berkolaborasi dengan Umno ini jelas. Cuma Pas agak bijak sedikit kerana pandai menyembuyikan masalah mereka. Namun hakikatnya arus bawah dalam Pas kian bergelora dan bergelumbang. Dalam pada itu kerjasama Pas dengan Bersatu dilihat lebih menguntungkannya berbanding dengan bersatu, khasnya di Kelantan dan Terengganu dimana Pas diperkirakan masih dapat mengekalkan kerajaan mereka.

Kesimpulannya semua parti dan gabungan ada masalah tersendiri. Masing-masing dilihat menghadapi kesulitan untuk menuntasinya. Justeru pilihan raya ini jika diadakan dalam masa terdekat pada tahun ini, nampak semua parti terpaksa menghadapi pilihan raya dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa persiapan rapi dan strategi yang ampuh. Suasana itu menjadi Piraum ke-15 kabur dan berbaur-baur.

Menyimpul awal keadaan Piraum ke-15 Pas dan DAP adalah parti yang tidak banyak mengalami perubahan, baik menambah kerusi ataupun mengalami kekurangan kerusi. Kedua parti ini bolehlah dianggap parti yang stabil. 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.