https://critoxium.com/shop/

Terkini

Desak PRU segera: Rakyat perlu 'sekolahkan' Zahid, Umno

 

Keghairahan pemimpin Umno mahu agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera, kata Rafizi Ramli, menunjukkan betapa jauhnya mereka dengan realiti dihadapi orang ramai.

Menurut timbalan presiden PKR itu Umno seolah-olah lupa kepada kesengsaraan yang dialami rakyat akibat bencana banjir yang berlaku sebelum ini

Katanya ada dua kejadian banjir besar berlaku mutakhir ini, dengan satu daripadanya di Taman Sri Muda (pada 2021) dan di Baling (pada tahun ini) namun ia tidak memberi kesan kepada pemimpin Umno.

Mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam Rafizi berkata sikap yang berbeza ditunjukkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam pemukiman yang berakhir pada 15 Sept lalu.

Salah satu kandungan utama ketetapan yang dicapai dalam program tersebut, katanya, ialah agar negeri-negeri yang ditadbir PH mengusahakan langkah-langkah bersepadu menangani bencana banjir yang dijangka tiba, termasuklah mengisytiharkan “darurat Iklim” untuk mengurangkan musibah kepada rakyat.

"Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri PH adalah untuk membantu rakyat, Umno menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU ke-15 diadakan segera demi mencari kuasa," katanya.

Menganggap sikap Umno itu sebagai angkuh, Rafizi berkata, ia tidak boleh dibiarkan malah rakyat perlu memberikan tindak balas yang sewajarnya.

"Justeru, saya sendiri akan mengusahakan pungutan suara rakyat (public referendum) untuk menunjukkan kepada Ahmad Zahid dan Umno bahawa rakyat mencemuh parti-parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.

"Dalam tempoh seminggu dari sekarang, saya akan melancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan agar kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir," katanya.

Tambah Rafizi pelbagai tragedi yang berlaku kebelakangan ini dan melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti politik agar tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar.

"Jika ahli politik seperti Ahmad Zahid masih tidak mengambil iktibar, wajarlah Umno dan pimpinannya disekolahkan untuk mula belajar mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.