Inspirasi angkasawan, Cheongsam ceriakan busana merdeka
LARI daripada kebiasaan dalam rekaan busana merdeka, cetusan idea yang mengambil inspirasi daripada uniform angkasawan dan Cheongsam tampil berbeza diperagakan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
Idea yang diolah oleh perancang majlis dan dekorasi, Ziddaini Putra Yazit, 44, itu sebenarnya direka khas untuk kedua-dua anak saudaranya.
Seperti ibu bapa lain, Hari Kebangsaan menjadi hari istimewa kerana ketika inilah masing-masing sibuk mencari pakaian yang cantik dan menarik untuk diperagakan oleh anak-anak.
“Saya teruja apabila melihat ibu bapa menyediakan busana merdeka untuk anak masing-masing selepas dua tahun tidak menyambut kemerdekaan. Saya juga begitu. Jadi, saya berhabis untuk anak-anak saudara, namun saya membawa idea lain daripada lain untuk mereka.
“Saya beri idea dan konsep, seterusnya meminta tukang jahit siapkan dalam dua minggu. Untuk memudahkan idea saya diterjemahkan kepada baju angkasawan merdeka, saya buat sample dan bawa ke tukang jahit untuk versi khas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Ziddaini Putra, dia gemar mencari idea baharu, tidak klise dan terlalu terikat dengan identiti setiap kaum.
“Idea dan konsep itu datang daripada saya sendiri. Saya tidak mahu apabila sambutan merdeka, terlalu jelas dengan perkauman. Sebaliknya, saya mahu buat sesuatu dengan berfikir dan bertindak di luar kotak.
“Seperti busana angkasawan yang dipakai oleh Muhammad Fahmi Zafry Zuhair Putra. Saya mencari uniform angkasawan di platform dalam talian untuk dijadikan contoh dan saya ubah mengikut idea dan konsep.
“Manakala Cheongsam yang diperagakan Nur Zea Faradina, 6, pula, saya membeli fabrik bunga raya untuk dijadikan busana itu bagi menggantikan bunga peony.
“Setiap pemilihan material saya perhalusi satu-persatu. Saya tidak menggunakan fabrik daripada bendera kerana tahu itu salah. Bulan dan bintang pada kain juga saya cuba elakkan kerana tahu setiap lambang ada makna yang perlu kita hormat. Saya hanya menggunakan warna-warna bendera sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia pada awalnya agak terkejut apabila mendapat permintaan daripada pengikut di Facebook untuk membeli dan menyewa, namun terpaksa menolak kerana busana ini eksklusif dan istimewa untuk anak saudaranya.
“Saya memuat naik gambar kedua-dua busana ini di Facebook, namun tidak sangka apabila ramai yang bertanya untuk membeli dan menyewa.
“Apabila dijelaskan bahawa baju itu eksklusif, baru mereka faham. Saya tidak akan ambil untuk tempahan busana ini. Tetapi, disebabkan baju itu untuk pertandingan foto bertemakan kemerdekaan, maka saya buka untuk sewaan dengan harga RM100 sepasang.
“Berebut juga pelanggan yang ingin menyewa. Tetapi, saya telah memberi sewa kepada seorang guru dari Alor Gajah, Melaka dan ibu bapa yang datang jauh untuk anak mereka gayakannya nanti,” katanya kos untuk membuat sepasang busana tersebut kira-kira RM500.
Pada 2019, dia turut mereka busana merdeka bertemakan baju pahlawan klasik untuk anak saudara yang lain.
Kata Ziddaini Putra, dia tidak kisah jika busana itu akan diciplak atau ditiru oleh pereka atau tukang jahit lain.
“Saya hanya mementingkan nilai dan kepuasan diri. Saya tidak kisah jika ada orang lain yang ambil idea ini, saya izinkan. Yang penting, orang tahu originality itu daripada siapa,” katanya.
Jersi merdeka laku terjual
Semangat kemerdekaan tidak pernah luntur dalam diri rakyat Malaysia. Ini mengambil kira jualan jersi merdeka laris terjual.
Ketua Pegawai Eksekutif Ombak Groups Sdn. Bhd., Shaick Saifullah Jehangir Ali, 29, berkata, sehingga hari ini lebih 15,000 jersi merdeka yang ditawarkan oleh syarikatnya habis terjual.
“Meskipun anggaran kami jersi merdeka dapat dijual 20,000 helai untuk tahun ini, namun ia sudah dikira jualan tinggi. Jualan agak kurang berbanding pada 2019 apabila kami jual sebanyak 26,000 helai.
“Setiap tahun jersi merdeka memang mendapat sambutan yang tinggi dan menggalakkan daripada pelanggan kerana kami menawarkan jersi untuk seisi keluarga,” katanya yang menjual rekaan jersi koleksi Merdeka sejak 2017.
Tambahnya, rekaan jersi merdeka sering direka dengan idea-idea baharu yang menggunakan warna-warna bendera.
“Kebiasaan corak akan bertemakan bunga raya dan berkaitan dengan kemerdekaan. Untuk tahun ini, kami lebih kepada warna putih.
“Apabila ada design baharu, pelanggan akan membeli yang baharu kerana ia lebih segar. Design juga sesuai untuk semua lapisan umur dan boleh digayakan seisi keluarga. Jersi yang dipakai berkualiti, tidak panas dan selesa,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.