Pembentangan Belanjawan 2023 mungkin sia-sia jika...
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 akan bermula pada 3 Okt sehingga 29 Nov ini. Mesyuarat tersebut akan mengambil masa selama 32 hari.
Pada jam 4 petang 7 Okt, akan dibentangkan Belanjawan 2023.
Sebuah kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Belanjawaan 2023 pada 7 Okt diikuti dengan perbahasan di Dewan Rakyat sepenuhnya di peringkat dasar dan jawatankuasa bagi setiap kementerian.
Selepas perbahasan, perlu pula dijalankan pengundian bagi setiap kementerian dan belanjawan keseluruhan negara juga adalah wajib dijalankan undian supaya RUU Perbekalan atau Belanjawan 2023 itu - selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat - dapat dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara sebelum menjadi undang-undang.
Proses ini mengambil masa sehingga ke Dis 2022.
Ini bermakna pilihan raya umum (PRU) ke-15 hanya boleh diadakan pada 2023.
Sebaliknya, sesebuah kerajaan adalah tidak bertanggungjawab jika mereka membentangkan belanjawan pada 7 Okt dan beberapa hari kemudian - sebelum ia dibahaskan - perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.
Tak bersambung secara automatik
Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu akan membentangkan belanjawaan untuk PRU dengan segala gula-gula dan janji manis bagi memancing rakyat supaya mengundi mereka.
Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu tidak peduli dengan kemungkinan besar banjir dan ancaman monsun yang akan berlaku pada Nov dan Dis nanti.
Kerajaan yang tidak bermoral itu akan membentangkan belanjawan bersifat sandiwara dengan tujuan hanya untuk mendapatkan undi rakyat dalam PRU semasa musim banjir.
Apabila parlimen dibubarkan sedangkan Belanjawan 2023 belum diluluskan, maka semua prosiding sidang parlimen itu hanya jadi wayang saja bagi menipu rakyat.
Jika senario ini benar-benar berlaku, maka selepas PRU ke-15 nanti RUU Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) perlu dibentangkan semula oleh kerajaan persekutuan yang baru.
Dari segi perlembagaan, kerajaan persekutuan bagi Parlimen ke-14 adalah berbeza dengan kerajaan persekutuan bagi Parlimen ke-15.
RUU Belanjawan 2023 yang dibentangkan dalam sidang Parlimen ke-14 (sekarang) tidak boleh disambung secara automatik oleh kerajaan dalam Parlimen ke-15 (selepas PRU ke-15) walau parti politik yang sama menjadi kerajaan.
Apatah lagi jika parti politik yang lain pula berkuasa selepas PRU ke-15.
Jadi sebagai seorang ahli parlimen maka saya menasihatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, dan ‘kerajaan hibrid BN/PN’ sekarang, bentanglah belanjawaan yang betul dan boleh dipertanggungjawabkan, bukannya sandiwara untuk 2023.
Kita tidak mahu pembentangan pada 7 Okt nanti menjadi belanjawaan olok-olok, wayang atau sandiwara kerana perdana menteri dan kabinet sebenarnya membuat keputusan untuk membubarkan parlimen sebaik saja selepas itu.
Jika itu berlaku belanjawan yang dibentangkan pada 7 Okt itu nanti menjadi sia-sia sahaja.
HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang yang mewakili PKR/PH.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.