PRU15: UMNO sasar menang 35 kerusi DUN di Kelantan
RANTAU PANJANG: UMNO meletakkan sasaran untuk memenangi 35 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) sekali gus membentuk kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sasaran itu tidak mustahil untuk digapai sekiranya seluruh ahli parti bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka nanti.
Menurutnya, dalam ‘pertempuran,’ tidak salah memasang cita-cita tinggi untuk dijadikan sebagai pembakar semangat dalam melakukan kejuatan pada PRU15 nanti.
“Biarlah apa orang nak kata di luar sana, kita (UMNO Kelantan) akan terus bekerja kuat mencapai sasaran bagi membentuk kerajaan di negeri. Kalau tidak capai target, sekurang-kurang kita mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
“Bagaimanapun, buat masa ini UMNO Kelantan membuat ketetapan untuk merahsiakan kerusi-kerusi DUN yang kita sasarkan pada PRU15 nanti,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Veteran UMNO Kelantan dan Perasmian Keluargaku Pengundi Barisan Nasional (BN) di Lubok Jong, Rantau Panjang di sini hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu memberitahu, sebanyak sembilan kerusi Parlimen menjadi sasaran UMNO pada PRU15 dan ia mampu dicapai berpadukan rekod pada tahun 2004 lalu.
Katanya, buat masa ini UMNO Kelantan perlu menanamkan keyakinan kepada rakyat untuk memilih parti itu nanti.
“Mengenai soal calon, kita akan menampilkan seramai mungkin muka baru termasuk calon wanita. Namun, pada masa yang sama, muka-muka lama tidak akan kita pinggirkan.
“Saya yakin dan percaya kombinasi muka baru dan lama mampu membentuk gandingan mantap untuk menerajui tampuk pentadbiran di negeri ini,” ujarnya.
Ahmad Jazlan berkata, rata-rata calon yang akan dipilih kali ini datang daripada pelbagai latar belakang seperti warga pendidik, ilmuan dan ahli perniagaan.
“Kita akan pilih calon yang terbaik antara terbaik dan mereka boleh menang pada PRU15. Senarai calon yang akan bertanding belum dimuktamad lagi.
“Tetapi, nama itu akan diserahkan kepada Presiden parti dalam masa terdekat bulan depan,”katanya.
Pada PRU14 lalu, UMNO menang lapan kerusi DUN dan lima Parlimen. –UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.