https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu Terengganu setuju PAS guna lambang sendiri pada PRU15

PETALING JAYA: Cadangan pemimpin PAS Terengganu supaya parti itu menggunakan lambang sendiri pada PRU15 dipersetujui rakan gabungan di negeri itu.

Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris berkata, penggunaan lambang PAS atau Perikatan Nasional (PN) bukan satu keperluan, sebaliknya tumpuan lebih kepada usaha memastikan parti menang dan terus menerajui kepimpinan negeri.

“PAS Terengganu mencadangkan penggunaan lambang parti itu kerana mereka tentunya sudah melakukan kajian terperinci sehingga ke peringkat akar umbi.

“Jadi, Bersatu negeri tiada halangan mengenai isu penggunaan lambang, terpulanglah kepada parti itu sama ada menggunakan lambang sendiri atau PN,” katanya menurut Berita Harian

Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Ariffin Deraman mencadangkan PN menggunakan lambang parti itu pada PRU15.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri dilaporkan berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding pada peringkat Persekutuan.

Justeru, Razali yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri berkata, pimpinan tertinggi parti diminta membuat kaji selidik untuk menilai sama ada penggunaan lambang PN atau PAS yang mampu memberi kemenangan besar pada PRU15 akan datang.

“Jika kemenangan parti gabungan PN mampu memperoleh kemenangan besar dengan menggunakan lambang PAS, kita tiada halangan dan bersetuju.

“Kita letak kemenangan PN nombor satu, tetapi keputusan penggunaan lambang akan diputuskan pada peringkat pimpinan tertinggi pusat,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.