https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bekas ahli parlimen PAS ,Khairuddin sependapat dengan Umno mahu PRU segera

 


Bekas ahli parlimen PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali, hari ini secara terbuka menyokong idea dibawa pemimpin Umno agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

Menurut bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, ketika ini negara memerlukan kestabilan politik bagi mengukuhkan ekonomi.

Katanya di sebalik hubungan baik dalam kerajaan atas dasar Keluarga Malaysia, "kehangatan" tetap dirasai apabila muncul isu keperluan dan hala tuju sesebuah parti.

"Justeru, menyegerakan pilihan raya (umum) lebih memihak kepada kepentingan rakyat dan negara," katanya hari ini.

Ahli parlimen Kuala Nerus yang pernah digambarkan seperti burung hudhud oleh pemimpin tertinggi PAS itu membuat kenyataan tersebut ketika beberapa pihak menyatakan rasa tidak senang dengan langkah diambil Umno untuk mengadakan PRU pada tahun ini.

PAS sendiri sudah beberapa kali menegaskan kecenderungan mereka untuk membiarkan penggal parlimen ke-14 berakhir sebelum PRU baru diadakan.

Parti itu juga memberitahu, kerajaan negeri yang diterajui mereka - Kelantan, Terengganu dan Kedah - tidak akan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing jika PRU diadakan tahun ini.

Bagaimanapun pada 2 Okt salah seorang naib presiden parti itu, Idris Ahmad, memberitahu media, PAS akan berbincang semula mengenai pembubaran DUN ekoran keputusan diambil Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini.

Idris juga menegaskan, mungkin ada perubahan diambil oleh PAS susulan perkembangan semasa.

Mohd Khairuddin juga berpendapat Pakatan Harapan (PH) sebenarnya belum bersedia menghadapi PRU apabila tekal mendesak agar parlimen tidak dibubarkan pada tahun ini.

"Mereka kehilangan kerajaan (pada 2020 kesan daripada Langkah Sheraton). Logiknya tentu mereka tidak sabar untuk bersaing bagi mendapatkan kembali kerajaan.

"Namun, apabila mereka pula yang mendesak diperlewatkan, ia memberi petunjuk bahawa mereka belum bersedia atau suasana politik semasa belum memihak kepada mereka.

"PH masih belum bersatu sepenuhnya untuk berhadapan PRU," kata bekas menteri itu lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.