Bersih Global mahu tempoh kempen mencukupi buat pengundi
Bersih Global mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tempoh kempen yang mencukupi bagi memastikan sistem undi pos luar negara dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Bersih Global berkata, walaupun pendaftaran pemilih secara automatik diperkenalkan, rakyat Malaysia di luar negara masih perlu mengambil langkah tambahan dengan mendaftar sebagai pemilih pos sebelum boleh mengundi.
“Bersih Global juga menggesa semua rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi luar negara secepat mungkin bagi mengurangkan risiko masalah yang dialami semasa pilihan raya negeri di Johor sebelum ini,” katanya.
Kumpulan itu memberi amaran, terdapat risiko pengundi luar negara menghadapi kesukaran untuk melaksanakan hak mereka untuk mengundi melalui pos berikutan peningkatan dalam bilangan pengundi luar negara, selain isu musim tengkujuh dan cabaran pandemik Covid-19.
Oleh itu, kata Bersih Global, mereka menggesa SPR melanjutkan tempoh berkempen kepada minimum antara 21 hingga 25 hari bagi memberi masa yang mencukupi untuk rakyat Malaysia di luar negara menerima serta menghantar undi mereka ke pusat pengundian masing-masing.
Dalam kenyataan itu, Global Bersih turut "mengingatkan" SPR tentang betapa bergelutnya rakyat Malaysia di luar negara semasa PRU ke-14 untuk memastikan undi mereka sampai ke Malaysia kerana tempoh berkempen 11 hari yang terlalu singkat.
“Masalah ini akan diburukkan lagi dengan pertambahan besar dalam kumpulan pengundi pos luar negara selepas perubahan berlangsung, seperti pendaftaran pengundi automatik, pendaftaran dalam talian untuk pengundi luar negara, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, kemasukan rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, selatan Thailand, Brunei, dan Kalimantan dalam sistem pengundian pos luar negara, dan penghapusan syarat untuk hadir selama 30 hari di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum pilihan raya," katanya.
Kumpulan itu seterusnya menggesa SPR membenarkan bukan warganegara Malaysia bertindak sebagai saksi pada dokumen undi pos, kerana untuk mencari saksi rakyat Malaysia di kawasan tertentu adalah mencabar.
Misi asing juga, tambah Bersih Global, harus memainkan peranan mereka dengan menyampaikan maklumat terkini dan tepat tentang proses pengundian pos kepada rakyat Malaysia di luar negara.
“Bersih Global berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Malaysia yang mengundi dari dalam negara yang terpaksa mengharungi musim tengkujuh untuk mengambil bahagian dalam PRU akan datang, dan menyeru rakyat Malaysia di luar negara untuk bersedia untuk mengundi dengan mencipta akaun pengguna di portal SPR dan mendaftar sebagai pengundi pos luar negara sekarang," katanya.
SPR dijangka bermesyuarat di ibu pejabatnya di Putrajaya pada 20 Okt untuk memutuskan tarikh penting bagi PRU15.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.