Karier Tajuddin dalam Umno hampir ke penghujung
Oleh Robin Augustin
PETALING JAYA: Kerjaya Tajuddin Abdul Rahman dalam Umno mungkin sampai pengakhirannya, walaupun Ahli Parlimen Pasir Salak itu tegas menafikan penggantungannya selama enam tahun daripada parti sebagai “hukuman mati”, kata penganalisis.
Tindakan drastik dikenakan itu merupakan kali kedua berlaku. Pada 1995, beliau telah dipecat kerana dikatakan membayar RM6 juta bagi mendapatkan jawatan ketua bahagian Pasir Salak.
Beliau kemudian dibawa masuk semula dalam parti, pada 1998 dan sebelum perlahan-lahan “memanjat” hierarki parti.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, penggantungan Tajuddin selama enam tahun berkemungkinan menjadi detik terakhirnya dalam politik Umno kerana jelas parti itu tidak berhasrat membariskannya sebagai calon, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Umno melakukan tindakan yang betul,” kata Azmi kepada FMT mengulas penggantungan Tajuddin itu. Bagaimanapun, alasan penggantungan terbabit tidak dijelaskan.
“Penggantungannya ini bererti beliau nampak gayanya tidak akan dicalonkan untuk PRU15,” kata Azmi. Tajuddin, 74, menyandang sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak selama tiga penggal.
“Saya rasa sudah tiba masa Umno beralih daripada Ahli Parlimen yang bergelumang kontroversi dan tidak berkesan. Ramai Ahli Parlimen menganggap diri mereka kebal dan tidak boleh ditegur kerana sekian lama mendapat perlindungan parti. Era itu sudah berlalu.”
Azmi berkata, arena politik telah berubah dan kini pengundi sendiri bersedia menyingkirkan sesiapa saja yang prestasinya tidak baik.
Tajuddin, yang selama ini lantang mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak memperbesarkan isu penggantungannya, malah tetap menyatakan kesetiaan kepada parti.
Bagaimanapun, Azmi berkata, Tajuddin bukan saja tidak popular dalam kalangan akar umbi Umno, malah juga secara umum susulan kelakuannya yang mengundang kecaman meluas pada sidang media berhubung kemalangan LRT di Kuala Lumpur, tahun lalu.
Tajuddin ketika itu dituduh biadap dan tidak sensitif terhadap kejadian berkenaan sehingga membawa kepada pemecatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.
Beliau juga sering mencetuskan kritikan ketika berbahas dalam Dewan Rakyat, selain penggunaan bahasa kurang sopan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.