https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sering dituduh rasis, anti-Islam, pemimpin DAP soal PAS mana RUU 355


PETALING JAYA: PAS yang dilihat cuba menjuarai isu Melayu-Islam sepatutnya menggunakan peluang membentangkan “RUU 355” di Parlimen selepas berada dalam kerajaan, bukan menjadikan DAP sebagai “kambing hitam” menutup kegagalan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Lee Chin Chen, berkata PAS perlu mencerminkan dirinya dulu susulan kenyataan Ketua Penerangannya Khairil Nizam Khirudin, semalam, yang dianggap “gigih” menyerang DAP, termasuk memberi gelaran kepada parti itu sebagai “rasis” selain memusuhi Islam.

“PAS yang kini sebahagian daripada kerajaan terdiri daripada ‘perkahwinan campur’ antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sepatutnya menggunakan peluang ini untuk membentangkan RUU 355 yang mereka juarai, bukan asyik menyalahkan DAP atas kegagalan membentangkan RUU tersebut,” katanya dalam kenyataan.

RUU 355 merujuk kepada Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Pada 18 Feb 2017, dianggarkan 50,000 hadir di Padang Merbok dalam Himpunan RUU 355 dianjurkan PAS. RUU itu kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Semalam, Khairil melabel DAP sebagai “parti lebih rasis”, selain memusuhi Islam kerana didakwa mahu memulihkan Perlembagaan kepada rangka kerja “sekular yang asal”.

Lee yang juga ADUN Bilut ketika mengulas lanjut berkata, DAP sentiasa menghormati kedudukan raja-raja, orang Melayu dan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Beliau berkata, jika benar tuduhan jahat dilemparkan kepada DAP, sudah tentu partinya membentangkan segala usul “berniat jahat” di Parlimen menyasarkan orang Melayu dan Islam.

“Namun, DAP tidak membentangkan usul begitu bahkan menteri dan timbalan menteri daripada DAP gigih merangka dan membentangkan RUU yang memberikan manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Katanya, PAS juga melalui Hadi baru-baru ini, melemparkan satu tuduhan rasis dan jahat kepada masyarakat bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai antara punca kepada gejala rasuah di negara ini.

“Saya juga ingin mengingatkan ketua penerangan PAS bahawa tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan telah derhaka kepada institusi beraja,” katanya.

Lee merujuk kepada pembatalan Ordinan-ordinan Darurat diumumkan Takiyuddin pada 26 Julai 2021, kemudian disangkal Istana Negara yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah belum memperkenan pembatalan ordinan itu seperti diumumkan di Parlimen.

Tindakan Takiyuddin itu menyebabkan baginda dukacita sehingga menjadi polemik apabila terdapat pihak melabel kerajaan sebagai derhaka.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.