https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengalaman, sokongan rakyat bantu Anwar harungi cabaran

 

Pada petang Khamis, 24 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional, Parti Warisan dan GPS.

Lima hari yang dramatik dilalui Anwar dengan tabah dan risiko tinggi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana Pakatan Harapan (PH), gagal membentuk kerajaan walaupun memiliki 82 kerusi Parlimen.

Namun kini, Kerajaan Perpaduan dibentuk bersama PH, BN, GPS, WARISAN, Gerakan Rakyat Sabah (GRS), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.


Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Dr Muhammed Fauzi Othman -

 Anwar menjadi Perdana Menteri ketika dunia sedang menghadapi pelbagai krisis seperti inflasi, kemelesetan, konflik perang dan perdagangan, krisis makanan dan alam sekitar serta isu kesihatan terburuk iaitu COVID-19 berpanjangan. Kesan daripada semua isu global ini masih dirasai Malaysia.

Justeru, konflik kepemimpinan akan terus berlaku dalam pentadbiran Anwar kerana terdapat pihak masih tidak berpuas hati dengan sokongan diperoleh Ahli Parlimen Tambun ini. Pengerusi PH yang juga Presiden PKR ini akan terus ditekan dan dicabar lawan politiknya.

Sukar untuk menafikan, hari-hari mendatang tidak akan menjanjikan laluan mudah kepada kepemimpinan Anwar. Apatah lagi, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ini amat unik daripada segi struktur dan pembabitan Ahli Parlimen.

Antara cabaran besar dalam negara akan mendepani kepemimpinan Anwar dan Kabinet perpaduannya adalah isu ekonomi dan kenaikan harga barang, tadbir urus kerajaan, kestabilan politik, kualiti pendidikan, kesihatan awam dan perpaduan nasional.

Cabaran dalam konteks hubungan diplomatik dan antarabangsa sudah tentu bersangkut dengan bagaimana untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia.

Untuk mencapainya, Anwar perlu mempersiapkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dengan pelbagai insentif disediakan. Tekadnya membanteras rasuah dan penyelewengan mampu memancing keyakinan pelabur terhadap 'ease of doing business' di Malaysia.

Sejarah menunjukkan pertumbuhan ekonomi positif pernah dicapai ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan antara 1992 hingga 1997 iaitu ekonomi berkembang antara 7.0 hingga 10 peratus.

Pelbagai masalah ekonomi bebankan rakyat

Belanjawan lebihan dicatat sehingga 1997 dan kadar hutang negara menyusut dan tidak melebihi RM100 bilion menjelang penyingkirannya pada 1998.

Jika Anwar mampu mengembalikan semua prestasi terbaik ini, Malaysia sekali lagi akan meletakkan kedudukannya kembali dalam kalangan negara berprestasi tinggi.

Malaysia ketika ini turut berdepan dengan pasaran dan nilai ringgit tidak stabil, sehingga memberi kesan terhadap perbelanjaan dan perolehan awam serta swasta.

Terdapat pelbagai masalah terkait ekonomi lain dihadapi rakyat khususnya kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, lambakan dan pengangguran graduan, kenaikan kadar faedah bank, kemelut perniagaan perusahaan kecil sederhana (PKS), kekurangan bekalan makanan seperti ayam, telur dan minyak masak.

Pandemik COVID-19 memberi kesan domino terhadap banyak komponen ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat. Kemiskinan, kehilangan kerja, kekurangan makanan dan kematian akibat COVID-19 amat menyeksakan rakyat sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, pakar ekonomi dan pemimpin dunia pula menjangkakan berlaku 'great recession' pada 2023. Bagi menghadapinya, kerajaan dan rakyat perlu bersedia dengan pelan strategik komprehensif.

Tidak mudah untuk mengurus dan mengatasi masalah bertimpa-timpa ini. Anwar bukan 'superhuman' boleh mengatasi semua masalah ini dengan 'sentuhan emas Raja Midas'.

Selain itu, antara cabaran paling sukar dihadapi Anwar adalah memperbaiki kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik dalam perundangan serta sistem kehakiman.

Ia bukan masalah baharu, malah Anwar menyifatkan ia sebagai masalah bersifat 'sistemik' sejak sekian lama berakar dan membarah.

Jika semua masalah ini dapat diatasi dengan baik menggunakan pendekatan tegas tetapi berhikmah, Malaysia mampu keluar daripada kemelut negara kleptokrasi dan membaiki kedudukannya dalam pelbagai indeks berkaitan tadbir urus cekap dan berintegriti.

Cabaran pastikan politik terus stabil

Pelan Antirasuah Nasional (NAP) 2019 seharusnya menjadi agenda penting dan dilaksanakan sebaiknya dengan pelaksanaan lebih serius dan bersasar.

Selain cabaran ekonomi, Anwar turut berdepan cabaran memastikan wujudnya kestabilan politik berterusan. Sejak 2018 hingga kini, kestabilan politik memberi tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran hidup rakyat.

Percaturan politik berlebihan antara parti sehingga menyebabkan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri beberapa kali sebelum ini memberi kesan mendalam kepada kelangsungan hidup rakyat.

Selain itu, sentimen kaum dan agama semakin menjadi-jadi ketika PRU15. Isu ini dimainkan bagi menimbulkan ketakutan dan kebencian rakyat terhadap agama dan kaum tertentu.

Gambaran buruk berkaitan sentimen kaum dan agama ini terlihat daripada keputusan PRU15. Api perkauman dibakar dan disemarakkan segelintir individu dan parti politik bertujuan meraih undi dan sokongan daripada kaum tertentu.

Justeru, Anwar ditagih mengembalikan kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang menjadi asas kepada kehidupan makmur dalam negara memiliki pelbagai kaum. Jika ia tidak diurus dengan cemat, teliti dan berhati-hati ia boleh membakar dan membinasa dalam jangka panjang.

Ikrar Anwar ketika sidang media pertama selepas pelantikannya iaitu akan mempertahankan institusi raja, mendaulatkan bahasa Melayu dan mengangkat Islam sebagai agama persekutuan melegakan banyak pihak.

Ikrar itu adalah rangkuman komitmen dan prinsip perjuangan sama diperjuangkan Anwar sejak dahulu. Namun, beliau kekal berprinsip dan menegaskan hak sepatutnya dinikmati orang bukan Melayu berdasarkan Perlembagaan.

Natijahnya, cabaran Anwar sebagai Perdana Menteri akan benar-benar teruji dalam tempoh 100 hari memimpin Kerajaan Perpaduan. Tempoh 100 hari ini menjadi penanda aras kepada Anwar dan Kabinet perpaduan mengotakan dan menterjemahkan apa sahaja janji dilaungkannya.

Justeru, semua pihak harus berganding bahu dan bekerja kuat serta bersatu membantu Kerajaan Perpaduan ini dalam meningkatkan ekonomi dan urus tadbir cekap, berintegriti dan profesional.

Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.