https://critoxium.com/shop/

Terkini

Literasi media sosial lahir pengguna lebih berhemah


 Oleh Siti Nasarah Ismail -

Penggunaan aplikasi media sosial adalah suatu keperluan dalam menjalani kehidupan seharian masa kini, sekali gus merubah landskap interaksi insan kepada suatu kaedah lebih cepat, pantas dan interaktif.

Mengambil contoh pendekatan kempen calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, majoritinya menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan menyampaikan tawaran masing-masing. Pada masa sama, kempen cara lama, iaitu melalui rapat umum dan ceramah dilihat kurang menyerlah.

Namun, di sebalik kelebihan penggunaan media sosial ini, wujud permasalahan sekian lama dibincangkan pelbagai lapisan masyarakat, iaitu soal sikap pengguna yang sering menjadikan platform ini sebagai medan mencaci, memfitnah, menghina dan mengaibkan pihak lain, termasuk institusi Raja dan kerajaan.

Fenomena ini turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah supaya graduan menghayati prinsip Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan dengan selalu berhemah ketika berkomunikasi dalam media sosial.

Baginda turut menitahkan graduan tidak mengeluarkan komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki di media sosial kerana ia boleh merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

Walaupun peringatan itu ditujukan kepada graduan, namun masyarakat secara keseluruhannya patut 'terasa' dan menginsafi perbuatan itu serta turut kembali kepada rukun kelima dalam Rukun Negara.

Budaya mengulas dan memberi komen melampau dan tidak menghormati individu lain di laman media sosial seharusnya tidak berlaku kerana ia bertentangan dengan adat ketimuran apatah lagi nilai agama.

Makin menyedihkan apabila kebanyakan mereka yang terbabit kebanyakan daripada golongan muda. Ia menunjukkan peradaban manusia sepatutnya semakin hari semakin kukuh seiring pertambahan usia dan kepesatan teknologi sebaliknya kian mundur.

Celik ilmu guna media sosial 

Kebanyakan golongan ini mendakwa tidak mengapa menghamburkan tohmahan biadab kepada seseorang di alam maya dan bukan secara langsung di dunia realiti kerana menganggap ia 'perkara biasa pada zaman ini' atau normal dalam alam maya.

Mengapa perkara ini boleh berlaku. Kajian menunjukkan tempoh penggunaan aplikasi media sosial ini bukan petunjuk utama menyumbang kepada kemahiran seseorang individu menggunakannya secara efektif dan berhemah, tetapi ia sebenarnya tertakluk kepada kesediaan untuk menerapkan literasi atau celik ilmu guna media sosial.

Elemen literasi ini bukan sahaja membabitkan kemahiran menggunakan media sosial semata-mata, malah merangkumi pengetahuan dan kesedaran kesan serta akibat penggunaannya kepada diri, pengguna lain serta institusi berkepentingan lain.

Justeru, sudah tiba masa setiap individu di negara ini diterap dengan pendidikan literasi media sosial seawal usia muda untuk melahirkan pengguna media sosial bertanggungjawab, beradab serta beretika bagi mewujudkan budaya komunikasi berhemah.

Walaupun terdapat peruntukan undang-undang seperti Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengheret ramai pengguna media sosial biadab ke muka pengadilan, namun masih ada individu 'melanggarnya'.

Langkah pengawalan dan penguatkuasaan proaktif tidak terhenti, namun paling penting adalah cara untuk tingkatkan kesedaran melalui penerapan literasi media sosial ini.

Walaupun negara mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan bersuara, ia bukan tiket untuk individu mencerca, mencela, menghina atau memfitnah termasuk terhadap institusi diraja, badan kehakiman atau pemimpin tertinggi negara.

Menzahirkan pendapat berbeza itu wajar, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara berhemah, beradab dan terhormat. Sikap ini perlu dipertahankan setiap individu.

Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.