Umno Langkawi terasa dilayan bagai sampah oleh Zahid
Umno bahagian Langkawi menyatakan rasa sedih dan kecewa susulan nama calon yang dicadangkan mereka gagat menambat hati pemimpin tertinggi parti untuk menghadapi PRU.
Ketuanya Nawawi Ahmad berkata apabila nama calon dari luar barisan kepimpinan bahagian dipilih, ia secara langsung melemahkan jentera di peringkat akar umbi untuk bekerja sekali gus.
Katanya tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memilih calon lain menjadikan Umno Langkawi berasa mereka seolah-olah tidak dihargai.
"Kami sudah bekerja lebih empat tahun untuk menghadapi PRU ke-15 ini, malah culaan bahagian juga mendapati Umno mampu untuk merampas Parlimen Langkawi.
"Tetapi apabila presiden Umno pilih calon dari luar, saya lihat peluang untuk menang itu semakin pudar.
"Presiden tidak pilih seorang pun daripada lima nama yang kami cadangkan, tetapi pilih orang luar yang bukan anak jati Langkawi.
"Perwakilan bahagian rasa kami macam sampah di mata presiden," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Orang tempatan kecewa
Terdahulu BN mengumumkan untuk mempertaruhkan calon muka baru, Armishah Siraj, untuk cuba menguasai kembali kerusi Langkawi yang ditawan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
Ketika itu Mahathir merupakan pemimpin tertinggi Bersatu merangkap pengerusi PH. Kali ini bekas perdana menteri berusia 97 tahun itu sudah mengumumkan rancangannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Mahathir kini menjadi pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Amirshah, 58, tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Umno bahagian di pulau pelancongan berkenaan. Namun dia pernah menjadi setiausaha sulit kanan kepada tiga menteri besar Kedah.
Mereka ialah Syed Razak Syed Zain, Ahmad Bashah Md Hanipah dan Muhammad Sanusi Md Nor.
Zawawi berkata, rasa tidak senang atas pemilihan calon itu bukan saja dirasai oleh pemimpin di peringkat bahagian, malah dalam kalangan ahli akar umbi.
Sebelum ini, katanya, hasil tinjauan pihaknya, Umno Langkawi masih mempunyai 35 peratus jumlah pengundi tegar namun jumlah berkenaan dijangka semakin berkurangan ekoran perkembangan semasa.
"Saya tak mahu kata apa dengan pilihan presiden, tetapi luahan ini daripada barisan ahli yang kecewa.
"Sepatutnya kita boleh menang walaupun berdepan Dr Mahathir kerana pertandingan paling kurang empat penjuru.
"Lagi pun kami dapati orang tempatan kecewa dengan perkhidmatannya kerana susah orang kampung nak jumpa dia. Itu yang berlaku apabila bukan orang tempatan dipilih," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.