https://critoxium.com/shop/

Terkini

Presiden PBSNT kurang senang tindakan Faisal


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) percaya kemelut yang membabitkan bekas pemain sayap Terengganu FC (TFC), Mohd Faisal Halim dengan Terengganu FC (TFC) dapat diselesaikan di meja rundingan.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada perkara yang tidak dapat diselesaikan jika pihak berkenaan berlapang dada dan berbincang secara baik.

Bagaimanapun PBSNT masih menunggu surat rasmi daripada pemain kebangsaan itu bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Mengenai dakwaan gaji pemain itu (Mohd Faisal) dipotong TFC, saya tidak mahu jawab di media, biar dia (Mohd Faisal) hantar surat secara rasmi terlebih dahulu untuk apa-apa tindakan.

"Beliau (Mohd Faisal) boleh membuat rayuan... tidak ada masalah, kita boleh bincang secara baik, mungkin ada sedikit 'miscommunication'," katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sebuah hotel dekat sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini Mohd Faisal membuat ciapan dalam laman Twitter peribadinya dengan tanda pagar #'pulangkan hak saya' sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat dan penggiat sukan.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas ciapan itu ditujukan kepada siapa dan apa isu sebenarnya, namun menurut sumber ianya adalah berkaitan dengan masalah gaji pemain itu dipotong pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd berikutan pemain itu mengkritik bekas majikannya itu ketika masih berada dalam kontrak.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu kurang senang dengan tindakan pemain yang kariernya semakin bersinar selepas mewakili TFC kerana meluahkan kekecewaan dalam laman sosial walaupun ada saluran yang lebih baik.

Tindakan pemain itu yang membuat ciapan kontroversi dilihat menyalahi peraturan kelab yang melarang setiap pemain membuat kenyataan terbuka terutama ketika masih lagi dalam kontrak.

"Ada sedikit salah faham... Faisal pun tahu perkara yang tidak sepatutnya dia buat tetapi berlaku.

"Kita mahu selesaikan secara baik... cuma perlu sedar yang salah tetap salah... setakat ini perkara tersebut tidak memberi impak kepada reputasi kelab," katanya.

Difahamkan gaji akhir (November) Mohd Faisal bersama skuad Penyu itu dipotong sebanyak 15 peratus tanpa makluman atau notis serta surat tunjuk sebab kepada pemain kelahiran Pulau Pinang yang sebelum ini membela bekas ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang didakwa lewat ditawarkan kontrak oleh TFC Sdn Bhd.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.