https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar yang tidak masuk Kaabah

 


Oleh Faisal Tehrani

Duhai Anwar,

Tidak apa-apa dikau tidak beroleh undangan masuk ke dalam Kaabah. Jutaan umat Islam juga sepertimu, tidak pernah beroleh nikmat itu. Maka demikian membuatkan engkau lebih istimewa, kerana nyata kita jadi serupa. Bahawa kita memang setara. Kerana belum tentu penghormatan itu benar-benar punya makna.

Duhai Anwar, kata Jalaluddin Rumi; ‘Sekali pun ribuan kali kau tawaf Kaabah/ tak kan diterima Tuhan/ Jika hatimu melukai.’ Nah, itukan berkenaan hati. Cuba dikau, cuba dikau bayangkan Anwar; mereka yang pongah beroleh masuk ke dalam Kaabah, tetapi tangan meraba di belakang mencuri. Harta dan khazanah negeri. Apakah kau yakin mereka diterima Tuhan?

Anwar duhai, pernahkah engkau mendengar perihal Ali, menantu dan kekasih Nabi. Yang mengutus warkah kepada Malik Ashtar berbicara soal keadilan negeri. Bahawa manusia itu setara jika tidak sebagai saudara seiman, berkongsi leluhur sekali? Si Ali yang menolak dan melawan korupsi, si Ali yang terbunuh ngeri. Si syahid Ali kerana menegakkan pemerintahan reformasi. Dia dilahirkan di dalam Kaabah, satu-satunya nan beroleh cahaya, terkorban Ramadan di kota kufah. Setiap tahun terdapat rekah di bucu Kaabah menjadi tanda; untuk mereka yang ragu, mereka yang tidak percaya. Tepat di penjuru kelahirannya. Jika tidak mahu menjadi Ali, memilih jadi bedebah; apalah erti keluar dan masuk Kaabah?

Duhai Anwar, di Masjidil Haram ada aneka macam manusia. Masakan engkau lupa perihal Abu Jahal yang tatkala berkuasa, punya wewenang keluar masuk masjid agung; dan berhasrat menghempas batu di kepala Nabi Allah Muhammad yang sedang sujud di hadapan Kaabah. Tidaklah berada di Haram memberi erti seseorang itu sakral, kerana kita semua tahu duduk lahanatnya Abu Jahal.

Duhai Anwar, barangkali aku perlu mengingatkan keadaan Abu Lahab tatkala Muhammad Sang Rasul diberita akan mauludnya. Abu Lahab yang dikutuki Tuhan mengelilingi Kaabah tujuh kali, sebagai merai dan merayakan kelahiran Nabi. Akan tetapi apalah erti perayaan jika kemudian dia membenci sepenuh hati, dan memungkiri fitrah suci?

Duhai Anwar, memang Abu Jahal dan Abu Lahab terlalu sering di Kaabah, malah keluar masuk di dalamnya, berkhidmat dan membersihkannya; itu terkhabar dalam sirah, lantaran Kaabah menjadi tebusan kaum Quraisy sebelum Rasul membebaskan Mekah. Akan tetapi apakah segala kebajikan mereka Tuhan menerima?

Duhai Anwar, mereka yang ingin mempunya Kaabah dan berhujah untuk diri, tidak banyak beda dengan Abrahah, sang raja tamak haloba yang terlalu ingin menguasai. Al-Quran menghantar petunjuk dan tanda, kita lalai tidak membaca

Anwar duhai, terlalu banyak Kaabah dipolitik sepanjang kurun dan zaman. Tidakkah kau ingat, tatkala Nabi dan umatnya dikepung beberapa tahun sekatan ekonomi. Perjanjian itu digantung di dalam Kaabah yang mulia. Bani Hashim tidak makan lantas melarat dan kebuluran menderita. Apakah ia bermakna perjanjian itu terpakai sebagai tanda kebenaran, sehingga anai-anai diperintah Tuhan menggerigit naskah helai perjanjian celaka akhirnya terlerai. Tidaklah menggantung kontrak di dinding dalam Kaabah membawa apa-apa erti melainkan kenistaan dan binasa. Tak usahlah engkau berasa sia-sia.

Anwar menduhailah Anwar, kerana Kaabah dikepung seperti mana Umaiyyah mengelilingi Ibnu Az Zubair dan melastik dindingnya Kaabah dengan manjanik. Kota Mekah dibakar dan terbakar, siapakah yang empunya kunci Kaabah wahai Anwar? Kaum Quraisy di manakah kaum Quraisy tercari-cari umat sehingga kini, maka mengapakah mereka harus dibiar berasa terlalu bangga masuk ke dalam Kaabah menerusi bukan yang milik tangannya. Tidak apa-apa tidak masuk ke dalam rumah Tuhan, kalau kunci bukan empunya. Amanah Kaabah direbut amarah. Kaabah bukan milik al Hajjaj dan al Nasim. 

Duhai Anwar, jika engkau menekuni al Hajjaj dan al Nasim, juga jangan pernah engkau lupa perihal Reza Pahlavi, Saddam dan Gaddafi. Yang melangkah masuk Kaabah, yang tersohor dalam sejarah; yang dilengser diinjak umat meski sombong dan gah. Tidak apa-apa tidak masuk Kaabah, kerana al Hussein sendiri tega meninggalkannya untuk melawan kezaliman di padang Karbala. Dan tidak kami memaksudkan engkau itu setanding Hussein kerana tampak berbalam-balam jauhnya. Sejauh Kaabah dan Seri Perdana.

Tidak apa Anwar, duhai Anwar; Hurgronje juga pernah berpura; bergantung di kiswahnya. Sebab Kaabah memang banyak cerita, seibarat Hamka menulis di bawah lindungannya.

Anwar duhai duhai, biarkan mereka berkokok menari dan berkokok lagi menari sehingga pagi. Kenapa menari dek tepuk teriak dan sorak sedangkan Fansuri berperi dalam syair agungnya begini; ’Hamzah Fansuri di dalam Mekah / mencari tuhan di Bait Al Kaabah / di Barus ke Qudus terlalu payah / akhirnya dapat di dalam rumah’. Betullah Anwar, Kaabah ada di sini, ada di sini. Kaabah ada di dekat kita. Tidak perlu masuk di Mekah untuk menemui-Nya.

Duhai Anwar, Kaabah itu dibina Adam dan Syits, kemudian didirikan kembali Ibrahim dan Ismail. Kelak dimerdeka di hujung zaman, agar manusia tidak lagi dilekakan, agar Kaabah tidak lagi dialpa gedung perniagaan, seperti Kaabah dibebas Muhammad tidak dinoda berhala kesesatan.

Anwar, biarkan disorak mereka menyorak hu hu hu ha ha ha; kerna apa ada masuk Kaabah, kalau tidak semestinya mengenal hakikat sembah.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.