https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rakyat Malaysia di Guantanamo akhirnya dapat tarikh bicara baharu

 


PETALING JAYA: Mahkamah tentera Amerika Syarikat akhirnya menetapkan tarikh perbicaraan bagi dua suspek pengganas rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Teluk Guantanamo di Cuba, 20 bulan selepas ia ditangguhkan berikutan bantahan mereka terhadap kualiti jurubahasa Bahasa Melayu.

Brian Bouffard, peguam utama salah seorang suspek, Mohammed Nazir Lep, memberitahu FMT, dua minggu mulai 24 April telah ditetapkan untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, katanya, Nazir yang menghadapi perbicaraan bersama rakan senegaranya, Mohammed Farik Amin, dan warga Indonesia Encep Nurjaman, juga dikenali sebagai Hambali, bimbang tiga jurubahasa yang dibantah oleh mereka sebelum ini ditugaskan semula untuk kes itu.

“Salah seorangnya adalah bekas jurubahasa dengan keistimewaan peguam-klien yang menimbulkan konflik kepentingan. Seorang lagi bekas jurubahasa sulit untuk ketiga-tiga mereka, dan seorang lagi menyatakan kerajaan membuang masa dan wang membicarakan (ketiga-tiga suspek) dan berharap mereka mati dalam tahanan,” katanya menerusi e-mel.

Bouffard berkata, pasukannya akan menangani isu jurubahasa yang telah berlarutan tanpa penyelesaian selama hampir 20 bulan, kelewatan berterusan kes itu, dan kegagalan kerajaan untuk mendedahkan keterangan.

“Nazir berharap hakim akan memastikan perbicaraan akan datang ini adil, tidak seperti perbicaraan pada Ogos 2021,” katanya.

“Dia tidak mahu sebarang penangguhan lagi dan mahu perbicaraan yang adil, dengan semua keterangan berkaitan, secepat mungkin. Pendiriannya tentang perkara ini konsisten sejak dia ditahan 20 tahun lepas.”

Bouffard berkata, kebenaran sepenuhnya tentang apa yang dilakukan ejen AS terhadap Nazir dan ramai lagi harus didedahkan.

“Jika bukan kerana rasa malu diseksa, dan keinginan pegawai-pegawai yang membenarkan dan melaksanakan (seksaan) mengelak akauntabiliti, kes-kes ini telah dapat diselesaikan dengan adil bertahun-tahun lepas,” tambahnya.

Ads by Kiosked

Ketiga-tiga suspek berdepan lapan tuduhan bersama, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditangkap di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.