https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan setuju teruskan pengecualian cukai SSPN hingga 2024


 

Putrajaya menarik balik keputusannya menamatkan pelepas cukai individu sehingga RM8,000 bagi pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim selepas ia mendapat persetujuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"PMX (Anwar) mendengar suara rakyat.

"Setelah meneliti pandangan dan kegelisahan orang ramai tentang pelepasan cukai pendapatan ke atas SSPN, saya telah berbincang sekali lagi dengan PMX di parlimen semalam tentang perkara ini.

"Pagi tadi, Anwar telah umumkan bahawa kerajaan akan melanjutkan pelepasan tersebut sehingga tahun 2024," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada 27 Mac lalu, timbalan menteri kewangan itu berkata, mulai tahun taksiran 2023, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Menurut laporan Nanyang Siang Pau, dia mengesahkan kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

"Ini adalah disebabkan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak 2 peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,800,” kata Sim.

Keputusan itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang dan kerajaan yang mahukan pelepasan cukai berkenaan diteruskan.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara yang menyuarakan bantahan.

Sementara itu, Sim berkata kerajaan bukanlah sempurna, namun dipimpin oleh perdana menteri yang sentiasa mendengar suara rakyat.

"Kerajaan ini bukan maksum, tetapi kita punya PM yang sentiasa terbuka untuk dengar dan utamakan kepentingan rakyat dan yang paling penting, cepat bertindak," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.