https://critoxium.com/shop/

Terkini

Empat bekas MP kembali ke Parlimen sebagai senator

 


Empat bekas ahli Parlimen (MP) hari ini kembali ke Parlimen, tetapi kali ini sebagai anggota Dewan Negara.

Mereka ialah bekas ahli Parlimen Kimanis dan Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman, bekas ahli Parlimen Lumut dan pengarah pilihan raya Amanah Hatta Ramli, bekas ahli Parlimen Cameron Highlands dan naib presiden MIC, C Sivarraajh dan bekas ahli Parlimen Tenom Noorita Sual.

Mereka yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah antara 16 senator baharu yang mengangkat sumpah hari ini.

Anifah adalah bekas menteri luar dan adik kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

Tahun lalu, dia berkempen bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim di Sabah.

Bagi Sivarraajh, sSejak Disember tahun lalu,jawatannya sebagai senator sudah menjadi spekulasi susulan persetujuannya untuk menarik diri secara tidak rasmi daripada pilihan raya Padang Serai dan menyokong calon PH yang akhirnya tewas.

Senator baharu lain berkaitan politik ialah aktivis orang kurang upaya, Isaiah D Jacob; aktivis Orang Asli, Manolan Mohamad dan peguam hak asasi kaum pribumi, Abun Sui Anyit.

Ketiga-tiga mereka adalah ahli PKR dengan Abun Sui adalah timbalan pengerusi parti itu di Sarawak. Dia sebelum ini beberapa kali gagal untuk dipilih di peringkat negeri dan Parlimen.

Senarai penuh senator baharu adalah seperti berikut:

  • RA Lingeshwaran (pilihan DUN Pulau Pinang)

  • Amir Ghazali (PKR, pilihan DUN Pulau Pinang)

  • Hussin Ismail (PAS, pilihan DUN Terengganu)

  • Abdul Nasir Idris (PAS, pilihan DUN Kedah)

  • Musoddak Ahmad (PAS, pilihan DUN Kedah)

  • Anifah Aman (PCS, lantikan Yang di-Pertuan Agong mewakili Labuan)

  • Isaiah D Jacob (PKR, lantikan Yang di-Pertuan Agong mewakili Kuala Lumpur)

  • Manolan Mohamad (PKR, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Low Kian Chuan (Presiden ACCCIM, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Awang Sariyan (Bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Mohd Hatta Md Ramli (Amanah, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • C Sivarrajh (MIC, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Mohd Hasbie Muda (Amanah, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Abun Sui Anyit (PKR, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Noorita Sual (DAP, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

  • Roderick Wong Siew Lead (DAP, lantikan Yang di-Pertuan Agong)

Pada masa ini, terdapat 65 ahli Dewan Negara, meningkat daripada 51 sebelum pilihan raya umum November lalu. Bilangan maksimum yang dibenarkan oleh perlembagaan ialah 70.

Terdapat 17 ahli yang merupakan sebahagian daripada pembangkang di Dewan Negara, 43 adalah ahli kerajaan manakala lima lagi tidak bergabung dengan mana-mana parti.

Senator kerajaan sahaja membentuk tepat dua pertiga daripada anggota Dewan Negara.

Bagaimanapun, empat senator Bersatu dan seorang senator PAS, yang semua mereka bukan lantikan oleh DUN, akan menyaksikan tempoh perkhidmatan mereka tamat tahun ini, sekali gus membolehkan Putrajaya menambah bilangan senator yang menyokong kerajaan pusat.

Antara mereka termasuk Presiden Dewan Negara Rais Yatim, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 15 Jun ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.