Ejen syarikat telekomunikasi 'hidup mewah' hasil jual nombor telefon 'VIP'
KUALA LUMPUR: Minat pengguna kepada nombor telefon bimbit yang dianggap bertaraf 'VIP' kerana mudah diingati serta kelihatan cantik susunan angkanya dan dianggap eksklusif, turut memberi pulangan lumayan kepada ejen jualan kerana harganya mampu mencecah RM100,000.
Walaupun nombor telefon bimbit sebenarnya boleh diperoleh secara percuma daripada mana-mana syarikat telekomunikasi ketika membeli pek prabayar dan pakej pasca bayar. Namun mereka yang berminat mendapatkan nombor tertentu, sedia membayar pada harga lebih.
Minat pengguna gilakan nombor telefon itu mendorong ejen pendaftaran telekomunikasi berusaha mendapatkan nombor-nombor berstatus VIP kerana berupaya dijual pada harga yang tinggi, seterusnya membolehkan mereka menikmati komisen lumayan.
Walaupun pek prabayar sedia ada boleh diperoleh pada harga bawah RM10, namun kad sim bagi nombor VIP pula ditawarkan pada harga di antara RM100 hingga RM100,000 bergantung keunikan gabungan angka-angka membentuk nombor telefon terbabit.
Keunikan nombor telefon bimbit agak subjektif kerana tertakluk kepada gabungan angka-angkanya, sama ada mudah diingati atau mempunyai maksud tersendiri kepada pengguna, sama seperti nombor pendaftaran kenderaan.
Seorang ejen syarikat telekomunikasi yang mahu dikenali sebagai Wan, mengakui mendapat komisen yang tinggi dan lumayan jika berjaya menjual nombor telefon VIP berkenaan.
"Kena 'rajin' buat kerja, memang boleh jadi 'jutawan' dalam tempoh beberapa bulan sahaja hasil jualan nombor telefon VIP ini kerana harganya yang tinggi.
"Saya kena berusaha mempromosi nombor telefon VIP khususnya menerusi media sosial bagi menarik pelanggan yang berminat sebelum pergi bertemu di mana jua mereka berada walaupun jauh," katanya.
Wan berkata, urusan jual beli nombor VIP itu dibuat secara tunai sahaja walaupun membabitkan harga yang tinggi.
"Nombor telefon VIP sememangnya dibekalkan syarikat telekomunikasi sendiri tetapi bekalannya agak terhad mengikut tempoh tertentu.
"Nombor-nombor eksklusif berkenaan sudah lama berada dalam pasaran dan sambutannya begitu menggalakkan terutamanya dalam kalangan mereka yang berkemampuan dan 'kaya'.
"Mereka sanggup mendapatkannya semata-mata mahu memiliki nombor yang cantik, eksklusif dan mudah diingati," katanya.
Ketika ini, Wan mempunyai yang mempunyai nombor telefon VIP 011-?888 8888 yang ditawarkan pada harga lebih RM100,000 kepada mereka yang berminat.
Beberapa lagi nombor telefon bimbit dalam simpanannya yang membabitkan gabungan angka tertentu ditawarkan untuk jualan harga RM22,000 seperti 011-5757 5757 dan 011-5959 5959, selepas berhasil menjual nombor 01?-5858 5858.
Sementara itu, seorang lagi ejen syarikat telekomunikasi yang mahu dikenali sebagai Azman, menjual nombor telefon VIP bagi kategori Emas serendah RM300.
Katanya, dalam usaha menarik pelanggan membeli nombor telefon VIP, beliau turut menyertakan bersama pakej telefon bimbit.
"Ada juga pakej yang menawarkan telefon bimbit dan nombor telefon VIP secara percuma dengan pulangan dua tahun sehingga RM700.
"Selain itu, ada pakej nombor telefon VIP berharga RM3,000 dan bayaran berkenaan termasuk bil bulanan dan dalam tempoh tiga atau empat tahun pelanggan tidak perlu membayar bil.
"Jadi, harga berkenaan membabitkan RM60 dalam tempoh sebulan dengan pakej data internet dan panggilan telefon tanpa had," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.