https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Eranya sudah berlalu' - Penganalisis sokong Dr M 'jauhi diri dari politik'

 


Dengan usianya yang bakal mencecah 98 tahun, pemerhati politik sependapat dengan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram bahawa sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir Mohamad meninggalkan dunia politik.

Bagi mereka, langkah itu tidak akan menghilangkan rasa hormat rakyat Malaysia kepada tokoh yang pernah memegang tampuk pentadbiran negara selama dua kali itu.

Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Muhammad Izmer Yusof berkata, walaupun Mahathir disanjung sebagai negarawan, eranya sudah berakhir pada 2003, iaitu ketika dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri setelah 22 tahun memegangnya.

"Era Mahathir tamat sekitar tahun 2003. Selepas itu dia masih ada sumbangan dan ada pengaruh sehingga naik semula sebagai perdana menteri pada 2018. Kemudian dia jatuh pada tahun 2020.

"Bagi saya, sejak 2018 sampai sekarang tiada buah fikiran baru yang dia cambahkan untuk negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhammad Izmer berkata demikian mengulas saranan Jomo agar Mahathir tidak lagi terbabit dalam politik dan hanya menjadi negarawan yang membantu pembangunan negara.

Dalam forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia pada Isnin lalu, Jomo berkata dia pernah memberikan nasihat itu kepada Mahathir dalam satu pertemuan.

Jomo Kwame Sundaram

Namun, bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata Mahathir menolak nasihatnya.

Mengulas saranan itu, Mahathir mengakui menolaknya dan berkata dia tidak semestinya perlu mengikut pendapat Jomo.

Malah, dia menegaskan akan tetap meneruskan aktiviti politiknya demi negara.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer mengakui agak sukar untuk membaca fikiran Mahathir namun membayangkan pengasas Bersatu itu melihat dirinya sebagai ahli politik seumur hidup.

"Kita tidak tahu psikologinya. Mungkin seperti apa yang orang katakan, dia tidak boleh terima dirinya bukan lagi wakil rakyat. Hidupnya adalah sebagai ahli politik.

"Ada orang bila pencen dia akan buat benda lain. Ada juga yang mesti bekerja selagi masih hidup," katanya sambil berpandangan Mahathir tidak pernah menyiapkan dirinya untuk melalui "tempoh peralihan" daripada dunia politik.

Potret Mahathir di PWTC

Dia membandingkan perkara itu dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang pernah menyatakan bahawa dia tiada masalah untuk meninggalkan politik dan menjadi nelayan.

Sudah 'cukup kenyang' dari segi politik

Turut berkongsi pandangan sama adalah penganalisis politik veteran Profesor Emeritus Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Wan Hashim membangkitkan semula perkongsian Mahathir berkenaan nasihat arwah ibunya agar "berhenti makan sebelum kenyang" untuk kekal sihat.

Namun, katanya, nasihat itu tidak diamalkan untuk kegiatan politiknya.

"Beberapa kali dulu apabila berjumpa dengannya, kita bertanya apa rahsia dia mampu bertahan lama, dia menjawab ikut petua atau pesanan ibunya bahawa 'berhenti makan sebelum kenyang'.

"Sepatutnya, dari segi politik dia sudah 'amat kekenyangan' dan sepatutnya berhenti," kata Wan Hashim.

Wan Hashim berkata ramai yang mengagumi pencapaian politiknya pada masa lalu namun setiap zaman kemuncak pasti akan berakhir.

"Zaman Mahathir sudah berakhir. Sesuai sangat untuk dia berehat dan bersara sepenuhnya.

"Jadikanlah seorang tokoh yang kekal dihormati, seorang negarawan. Elakkanlah dari mengganggu politik semasa dan beri peluang kerajaan sekarang berfungsi dengan sebaik-baiknya," katanya lagi.

Mahathir merupakan pemimpin yang paling lama menjadi perdana menteri dan yang pertama memegang jawatan itu sebanyak dua kali.

Dia kini telah menganggotai empat parti politik, bermula dengan Umno disusuli dengan Bersatu dan Pejuang - di mana dia menjadi pengasas bersama - dan terbaru menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada bulan lalu.

Langkah itu tidak lama setelah dia meninggalkan Pejuang, susulan kekalahan teruk parti itu dalam PRU15, termasuk dirinya sendiri yang hilang deposit di Langkawi.

Dr M akan kekal relevan walau bersara

Sementara itu, Muhammad Izmer membangkitkan langkah Mahathir untuk menyertai Putra selepas meninggalkan Pejuang.

Muhammad izmer berkata dia tidak dapat melihat kemungkinan Mahathir akan bertanding dan menang dalam PRN akan datang, mahupun keupayaan Putra untuk menjadi kuasa pendesak ketiga.

"Putra tiada gagasan dan akar umbi seperti parti lain yang lebih lama. Kita susah nak baca apa yang dimahukan Mahathir dan mula hilang kefahaman tentang bagaimana dia mengemudi politiknya."

Katanya lagi, persaraan Mahathir dari politik tidak akan mendatangkan kerugian kepada negara, memandangkan keadaan sekarang sudah jauh berubah.

"Sampai bila kita nak berpegang dengan Mahathirisme? Situasi sekarang tak sama dengan zaman dulu.

"Mungkin tindakannya pada zamannya, seperti menyelamatkan Malaysia semasa krisis ekonomi 1997, itlah yang terbaik pada ketika itu. Tetapi kalau nak ulang balik pencapaiannya, keadaan sudah berbeza," katanya lagi.

Tanpa politik, dia yakin Mahathir akan kekal relevan sebagai negarawan dan pandangannya akan terus didengar.

"Sebab dia sudah mencipta legasi yang sangat kuat dan boleh jadi kuasa pendesak. Dia tak perlu jadi pembangkang," katanya lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.