https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kejayaan ekonomi kunci kurangkan faktor Zahid dalam PRN, kata penganalisis

 


PETALING JAYA: Cara terbaik untuk kerajaan memerangi persepsi negatif yang dikaitkan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah dengan berusaha ke arah menurunkan kos sara hidup, menurut seorang penganalisis.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, berkata kerajaan perpaduan mesti dilihat berusaha menjadikan kehidupan rakyat lebih baik, khususnya orang Melayu

Keputusan PRU15 menunjukkan perubahan sokongan Melayu daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan ke arah Perikatan Nasional, yang memenangi 74 kerusi Parlimen, kebanyakannya majoriti Melayu.

Pemerhati berkata kepimpinan Zahid yang berpecah belah dan tidak popular, bersama perbicaraan rasuahnya, adalah antara punca prestasi buruk Umno pada PRU15 dan ini boleh membebankan PH dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

Jeniri berkata pembangkang memainkan isu Zahid sebagai liabiliti kepada kerajaan dan keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan pasportnya secara kekal kepadanya akan dieksploitasi oleh pesaing BN dan PH.

“Tidak dinafikan bahawa perbicaraan Zahid yang berterusan serta mempertandingkan jawatan presiden Umno telah mewujudkan pelbagai persepsi bahawa pembangkang akan cuba eksploitasi,” katanya kepada FMT.

“Secara peribadinya saya tidak merasakan beliau adalah liabiliti, tetapi sekiranya kerajaan mahu mengurangkan persepsi itu, ia perlu membawa kisah kejayaannya. Isu seperti kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan lebih penting kepada orang ramai, khususnya orang Melayu.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata beliau percaya isu Zahid akan memberi sedikit kesan kepada pilihan raya negeri.

“Faktor penentu, kecuali di Pulau Pinang, mungkin berkisar mengenai agama dan penampilan ‘warak’ antara kedua-dua belah pihak,” katanya

Katanya, dirinya tidak melihat Zahid sebagai liabiliti kepada kerajaan perpaduan kerana beliau akan mempertahankan Umno menjelang pilihan raya.

Mengenai sama ada PH dan BN akan dapat memperoleh undi Melayu dalam enam pilihan raya negeri, Oh berkata ia bergantung kepada keupayaan kerajaan perpaduan untuk dilihat sebagai menegakkan kepentingan kaum dan agama masyarakat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.