https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kalah PH Terus Memandang Sepi, Lebih Baiklah MUDA pPergi Membawa Diri


Oleh Shahbudin Husin

Sedih pula rasanya membaca rintihan dan keluhan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai kedudukan Muda yang masih tidak ketahuan nasibnya dalam PH, meskipun sudah lebih 100 hari gabungan itu memegang kuasa dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri
.
Katanya, setelah berbulan-bulan menunggu serta menunjukkan kesetiaan dan sokongan kepada PH sebelum, semasa dan selepas PRU15, malangnya tiada jawapan yang jelas berhubung permohonan penyertaan Muda ke dalam gabungan itu.
 
“Saya secara peribadi telah bertemu dengan Perdan Menteri untuk membincangkan perkara ini.
“Kami dimaklumkan sebelum ini bahawa isu ini akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH tapi sekarang saya rasa sudah tiga mesyuarat diadakan selepas PRU15 dan kami masih belum mendapat jawapan.
“Kami menghormati rakan-rakan dalam PH dan kerajaan, apa pun jawapan yang mereka berikan kami terima.
 
“Tapi apa yang kami inginkan sekarang adalah jawapan supaya ada kemuktamadan untuk proses ini,” kata Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar.
 
Selain itu, tambah beliau, di samping bertemu Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Seriausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk maksud yang sama.
 
“Kami malah telah mengutus tiga surat dari masa ke semasa untuk menyelesaikan masalah ini secara dalaman kerana ingin tahu apa jawapan kepada permohonan kami untuk menyertai PH,” tambah beliau lagi.
 
Sebelum ini dan terbaru semalam, Muda dalam waktu yang sama juga sudah dua kali mengeluh mengenai kedudukan mereka yang diketepikan dalam mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan.
 
Makna kata, sudahlah tiada keputusan sama ada diterima atau tidak untuk berada dalam PH, di dalam Seketariat Kerajaan Perpaduan pula Muda dipinggirkan.
 
Kesian Muda…dah macam pengemis pula jadinya sekarang ini.
 
Kepada Syed Saddiq dan Muda, ingin dipesankan bahawa hidup ini adalah pilihan dan kitalah yang berhak membuat keputusan.
 
Bersabar dan dilayan macam pengemis pun mesti ada hadnya.
 
Kalau asyik dibiarkan berada di tepi tangga saja, tidak diajak masuk dan jauh sekali diberi makanan, eloklah membawa diri mencari rumah lain untuk menumpang.
 
Bijak pandai dalam dunia politik selalu mengingatkan, manusia bila dapat kuasa atau dapat jadi menteri, penyakit pertama yang datang dalam hidup mereka ialah hilang ingatan.
 
Lantaran penyakit itu, mereka muda lupa kawan, lupa siapa yang menolong dan membantu menaikkan mereka, lupa kepada janji dan mula terkilau dengan cahaya kuasa yang penuh gemerlapan.
 
Ketika inilah kawan-kawan baru datang dan mengelilingi mereka dengan hilai ketawa yang akhirnya mereka itu semakin jauh daripada cerita asal usul di mana semuanya bermula.
 
Mungkin di mata PH, Muda yang hanya ada satu kerusi Parlimen tidak begitu bernilai tinggi berbanding kawan baru UMNO yang ada 26 kerusi banyaknya.
 
Oleh itu, Muda janganlah terus berasa sedih, kecewa, mengeluh dan merintih dengan situasi ini, semua ini adalah lumrah hidup bila manusia ada kuasa.
 
Pada hakikatnya, tiada sebab untuk PH tidak boleh dengan segera memproses kemasukan Muda ke dalam PH.
 
Pada 16 Oktober 2022 iaitu sebelum PRU15, Anwar ada berkata, hasrat Muda untuk menyertai PH yang disuarakan kira-kira sebulan sebelum itu tidak dapat direalisasikan buat masa ini memandangkan ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau RoS terlebih dahulu.
 
Untuk itu, tegasnya, PH hanya akan menjalin kerjasama dengan Muda untuk menghadapi PRU15.
Itu dulu, tetapi sekarang PH bukan saja sudah menjadi kerajaan dan Anwar memegang jawatan Perdana Menteri, bahkan RoS sudah berada di bawah kawalan Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri yang dalam masa yang sama adalah Ketua Seketariat PH dan Setiausaha Agung PKR.
 
Dengan itu, tiada alasan lagi untuk PH terus menangguh atau melengah-lengahkan permohonan Muda itu.
 
Kalau Saifuddin Nasution boleh menggunakan kuasa vetonya selaku menteri untuk membenarkan UMNO melanggar perlembagaan sendiri dan dikecualikan daripada diharamkan pendaftarannya, tidak ada alasan untuk RoS terlalu sukar memproses kemasukan Muda ke dalam PH.
 
Jika mahu, jangankan sebelum pejabat dibuka, sebelum masuk waktu Subuh pun kelulusan RoS atas kuasq budi bicara Saifuddin itu boleh diberikan.
 
Tetapi, setelah melebihi 100 hari berlalu, termasuk sudah bertemu Anwar dan pimpinan utama PH yang lain dan mengutus tiga pucuk surat, namun tiada juga jawapan yang pasti, kepada Syed Saddiq dan Muda – faham-fahamlah dan jangan tunggu lebih lama lagi.
 
Kalau mahu menunggu pun, beri peluang mesyuarat PH akan datang saja lagi untuk mereka memutuskan sama ada menerima atau tidak kemasukan Muda.
 
Lepas itu, jika tiada juga ketentuan, eloklah membawa diri mencari rumah lain untuk bernaung.
 
Kadang-kadang manusia mudah lupa, atap boleh runtuh dan rumah juga boleh musnah hanya bermula dengan satu keping genting yang tertanggal. – https://shahbudindotcom.net/

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.