https://critoxium.com/shop/

Terkini

Reformasi DUN sepatutnya bukan sekadar 'tukar kulit


Oleh Fakhrurrazi Rashid 

 Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan istilah pengimbang untuk merujuk kepada Adun pembangkang di negeri itu.

Speakernya Mohd Puad Zarkashi menjelaskan istilah pengimbang sebagai lebih "murni, tepat, komprehensif, dan berpandangan jauh" bagi Johor.

Pertukaran istilah itu boleh dilihat untuk memurnikan hubungan kerajaan Johor yang diterajui BN dengan blok PH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan selepas PRU ke-15.

Kalau mengikut politik pusat, PH dan Muda Johor berada di blok kerajaan negeri sekarang. Adun PN pula sepatutnya menuntut kerusi ketua pembangkang meskipun jumlah mereka hanya tiga orang.

Ironinya, Adun PN Johor hanya berdiam diri dalam perkara tersebut.

Ia berlaku sebegitu mungkin kerana semua pihak cuba menghormati keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang memberi laluan kepada Umno-BN mentadbir Johor selama lima tahun.

Sebenarnya, DUN Johor telah melalui reformasi badan perundangan yang signifikan sejak 2018. Peranan ketua pembangkang di Johor diiktiraf buat pertama kali pada 2018 dengan diberikan pejabat dan elaun khas untuk menjalankan tugasnya.

Bimbang kian melemahkan

Hasil kerjasama dwipartisan antara kerajaan Johor pimpinan Hasni Mohammad dan pembangkang pada 2020, kerajaan negeri mengiktiraf pembangkang sebagai rakan strategik di DUN dan membolehkan Adun pembangkang menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing.

Kerajaan negeri selepas PRN 2022 pimpinan Onn Hafiz Ghazi turut menyaksikan pemerkasaan DUN diteruskan dengan penubuhan jawatankuasa pilihan pertambahan impak pengundi bagi mengkaji keseimbangan pengundi yang bertambah akibat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.

DUN Johor akan menubuhkan jawatankuasa perubahan iklim dan pengurusan banjir bagi mencari solusi menoktahkan isu iklim dan bencana banjir yang merugikan rakyat negeri itu.

Ia menunjukkan sisi keterbukaan kerajaan Johor menerima cadangan Adun PH dan Muda bagi menubuhkan jawatankuasa tersebut pada awal penggal pembukaan sidang DUN Johor tahun lalu.

Perubahan itu lebih besar daripada perubahan istilah pembangkang yang dilihat kosong kerana tidak mengubah apa-apa kandungan klausa dalam Peraturan-Peraturan Tetap DUN Johor.

Bahkan kita bimbang pertukaran itu sebaliknya akan melemahkan lagi peranan pembangkang pada masa hadapan.

Persepsi melihat pembangkang hanya ‘membangkang’ semata-mata sepatutnya diubah dengan penambahbaikkan yang betul.

Untuk memastikan kualiti pembangkang ditambah baik, kerajaan negeri perlu menambah baik akses maklumat dasar kepada Adun pembangkang. Fakta yang tepat dapat membantu mereka memberi idea dan teguran konstruktif kepada kerajaan negeri.

Namun, perkara itu mustahil berlaku apabila terdapat kerajaan negeri yang sukar memberi maklumat mengenai sesuatu dasar secara terperinci kepada wakil rakyat. Lebih buruk lagi apabila laporan tahunan dan penyata kewangan agensi, anak syarikat, dan pihak berkuasa tempatan tidak dapat diakses secara atas talian di laman sesawang DUN itu sendiri.

Malah ada DUN tidak mempunyai laman web rasmi. Kalau ada sekali pun, kebanyakannya berkenaan direktori Adun seperti buku Yellow Pages.

Kerajaan perlu berani

Segala rekod pertanyaan dan jawaban DUN - termasuk penyata rasmi (hansard) - tidak disediakan secara terbuka di situ.

Persoalan yang timbul dalam isu ini bukan sekadar peranan pembangkang, tetapi menunjukkan betapa lemahnya peranan badan perundangan negeri untuk memastikan Adun mampu menjalankan fungsi semak dan imbang.

Tidak hairanlah jika terdapat ramai Adun berucap tanpa kualiti kerana kekangan maklumat di peringkat negeri.

Ironinya, negeri-negeri di Malaysia begitu gelojoh meminta autonomi daripada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan hak membangunkan ekonomi dan hasil sendiri.

Dengan kelemahan DUN masing-masing, sejauh manakah rakyat boleh mendapat jaminan bahawa hasil negeri dapat diurus secara telus dan jujur?

Untuk menjadi negara berdaya saing dengan tadbir urus yang baik, peranan badan perundangan negeri perlu diperkasakan. Peranan DUN tidak seharusnya dilihat sebagai ‘kedai runcit’ saja.

DUN perlu menjadi ‘gudang besar’ yang melahirkan penyelesaian, idea, dan tempat membahaskan isu-isu semasa yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Peranan pembangkang sebagai rakan strategik adalah mekanisme yang baik untuk mencambahkan idea pentabiran bijak dan matang. Apa yang lebih mustahak ialah kerajaan negeri perlu berani berhadapan kritikan politik dalam apa jua keadaan.

Akses kepada maklumat berkaitan kerajaan negeri, khususnya laporan tahunan dan penyata kewangan, harus dipermudahkan kepada orang awam.

Ia bukan sekadar dapat membantu pembangkang membuat analisis berfakta, tetapi turut membudayakan pemikiran berasakan maklumat yang tepat dalam DUN.

Setiap DUN perlu terbuka membangunkan pasukan penyelidik untuk menyokong peranan Adun memahami selok-belok dasar negeri. Kaedah itu juga dapat menarik minat tenaga pakar, badan pemikir, dan organisasi masyarakat menyumbang idea ke arah membentuk dasar negeri yang inklusif.

Peraturan-peraturan tetap DUN wajar dikaji dan dipinda jika perlu.

Mana-mana peraturan yang tidak releven seperti klausa menghalang Adun mencelah bagi mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri wajar ditambah baik.

Jika perubahan DUN benar-benar berlaku secara signifikan, pentadbiran akan terus kukuh dan mampu mengatasi cabaran masa hadapan dari sudut ekonomi mahupun kestabilan politik.

Jika tidak, kerajaan negeri akan terus kaku dan rakyat akan terus-menerus mempersoalkan integriti politik dan pentadbiran negeri yang boleh menjadi punca perbuatan rasuah, ketirisan, dan salah guna kuasa.

Soalnya, apakah pemimpin dan pentadbiran negeri berani melakukan perubahan ini? Atau apakah kerajaan masih lagi mahu menekan Adun pembangkang untuk kekal berkuasa tanpa semak dan imbang?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penulis yang berminat kepada parlimen dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.