Ahmad Hakimi (bukan nama sebenar) sudah bekerja dengan kerajaan sejak 15 tahun lalu.
Bermula dengan gaji pokok RM821 sebulan untuk gred W17, pembantu
tadbir kewangan di sebuah agensi kerajaan itu kini bergaji RM2262
sebulan dengan kenaikan tahunan sebanyak RM115 pada gred W22.
Namun lelaki itu tetap terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, kenaikan tahunan itu masih dianggap rendah dan wajar disemak semula.
"Ada penjawat awam yang gred 11 kenaikan tahunan masih lagi RM80 setahun," katanya kepada MalaysiaNow.
Hakimi mempunyai empat cahaya mata yang mana belanja makan, minum dan persekolahan mereka menelan kos yang besar.
"Isteri pula hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan
purata RM1,500 sebulan. Saya lega sedikit sebab bina rumah sendiri dan
tidak menyewa.
"Jika sewa, pasti terasa bebanan kos itu kerana gaji memang tidak
mencukupi, dengan komitmen pinjaman kenderaan dan lain-lain," katanya.
Sebelum ini, presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menggesa kerajaan menaikkan gaji
penjawat awam bagi mendepani masalah kos sara hidup.
Tiga tuntutan utama dibuat antaranya gaji minimum penjawat awam
sebanyak RM1,800, dua tahap kenaikan gaji tahunan dan sistem saraan
baru.
Perdana menteri yang juga menteri kewangan, Anwar Ibrahim pula memohon penjawat awam bersabar soal kenaikan gaji.
Ini kerana katanya tindakan itu perlu mengambil kira hutang negara yang mencecah RM1.8 bilion dan defisit perbelanjaan 5.6%.
Bagi Hakimi, tuntutan Cuepacs itu dianggap wajar, mengikut cabaran ekonomi semasa.
Kali terakhir tangga gaji kakitangan awam dipersetujui ialah pada 2002.
Sebagai rekod, kerajaan membelanjakan RM7 bilion sebulan kepada 1.6 juta penjawat awam.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kira-kira 7%
daripada 4,926 pekerja sambilan e-hailing merupakan penjawat awam.
Sementara itu, seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan berkata,
meskipun beliau tidak terkesan kerana sudah berada pada tangga gaji dan
selesa, beliau tidak dapat lari daripada bersimpati dengan kakitangan di
bawahnya.
"Di pejabat saya ada macam-macam restoran yang mereka suka, tetapi apabila berbual, mereka cakap tidak mampu hendak beli.
"Kadang-kadang memang ada 'aura' yang tak menyeronokkan di pejabat jika poket mereka sudah 'kering'.”
Tidak kurang juga kakitangan yang akan membawa bekal dari rumah pada tengah bulan kerana ingin berjimat-cermat.
Rata-rata mereka juga mengeluarkan sebahagian besar gaji untuk
menyewa rumah di sekitar pejabat agensi itu di Putrajaya yang mana
kadarnya dianggap mahal berbanding kawasan lain.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Institut Masa Depan
Malaysia, Adriana Asmaa' Mohd Ezanee berkata sektor awam dan swasta
harus dinaikkan gaji dan menerima sekurang-kurang gaji bermaruah yang
bermula daripada RM2,500 bagi golongan bujang.
"Bagi meringankan beban yang dirasai apabila gesaan menaikkan gaji
tidak boleh diutamakan, langkah yang harus diambil kerajaan adalah
dengan penurunan kos harga barang mentah.
"Begitu juga dengan usulan mengenai model sistem persaraan
perkhidmatan awam yang baharu oleh Cuepacs kerana sistem yang diguna
pakai pada masa kini tidak bersesuaian dengan ekonomi semasa," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.