https://critoxium.com/shop/

Terkini

JHEAT semak semula pemegang tauliah ceramah agama, Azhar Idrus tidak tersenarai

 


KUALA TERENGGANU: Hanya 30 individu dalam senarai boleh diberikan kebenaran khas oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.

Kebenaran khas itu memerlukan memerlukan penganjur atau jawatankuasa masjid dan surau memohon kepada JHEAT sebelum program diadakan.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata 1,313 individu lagi mempunyai tauliah untuk ceramah dan mengajar agama Islam, mengajar al-Quran, tauliah khas mengajar agama sahaja serta mengajar agama termasuk berkitab, ceramah umum dan pengajian al-Quran.

Mengikut pecahan, katanya, 35 individu diberi tauliah berceramah umum kategori agama, mengajar agama Islam kategori berkitab (773), kategori mengajar al-Quran (292), tauliah khas mengajar agama sahaja (100) dan tauliah mengajar agama Islam berkitab, ceramah umum dan al-Quran (83).

Senarai itu, katanya, dikemas kini setakat November lalu dan pihaknya akan melakukan semakan semula secara terperinci serta meminta individu yang ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid serta surau di negeri ini supaya memohon tauliah.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan senarai pemimpin politik dari kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Dewan Negara yang diberi tauliah oleh pihaknya untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri ini.

"Kita perlu melakukan semakan secara terperenci kerana statistik pemegang kuliah kali terakhir dikemas kini pada 30 November lalu. Proses permohonan dan sesi temu duga untuk mendapatkan tauliah sentiasa dilakukan

"JHEAT amat mengalu-alukan mereka yang layak memohon tauliah. Hanya perlu kemukakan permohonan dengan menyertakan maklumat peribadi serta kelulusan akademik sebelum menjalani proses temu duga," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pengurusan Halal Bahagian Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong.

JHEAT turut mengesahkan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus antara yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri ini. Difahamkan, beliau sudah tiga kali dipanggil oleh pihak berkuasa itu untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, dilaporkan berkata semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negara dilarang menggunakan masjid serta surau di Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Katanya lagi, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga pernah menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran MAIDAM.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.