https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zuraida menang PRU14 kerana PKR, bukan sifat peribadi - Saifuddin

 


Bekas menteri industri perladangan dan komoditi Zuraida Kamaruddin memenagi kerusi Parlimen Ampang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana bertanding di bawah tiket PKR, bukan kerana kekuatan peribadinya, kata setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pernyataan saksinya untuk menyokong saman pembelotan RM10 juta PKR terhadap Zuraida di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Saifuddin menegaskan bahawa ini terbukti apabila bekas pemimpin itu gagal memenangi kerusi berkenaan PRU15 tahun lalu ketika bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Saifuddin juga tidak bersetuju dengan dakwaan Zuraida bahawa dia mendapat undi penduduk Ampang pada PRU14 2018 kerana kekuatan watak dan kualiti peribadinya.

Saifuddin Nasution Ismail

“Faktor utama defendan dipilih sebagai ahli Parlimen bagi kawasan pilihan raya Ampang P99 adalah disebabkan nama parti yang dikenali secara meluas oleh rakyat Malaysia khususnya di Ampang.

“Jika tidak kerana nama parti, logo dan sepanduk, defendan akan kalah pada PRU14.

“Ini bukan andaian dan telah dibuktikan pada PRU15, di mana defendan yang bertanding di kawasan pilihan raya yang sama iaitu P99 Ampang tetapi di bawah tiket parti yang berbeza, telah tewas dan hilang wang deposit kerana hanya memperoleh 4,589 undi iaitu hanya 4.3 peratus daripada 104,421 undi yang sah,” kata Saifuddin.

Zuraida, bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai oleh  bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, meninggalkan parti itu pada Februari 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk Perikatan Nasional. Mereka membentuk sebahagian daripada Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.

Pada September tahun yang sama di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, PKR memfailkan tindakan sivil untuk menuntut RM10 juta ke atas Zuraida kerana  meninggalkan parti.

Bagaimanapun pada Mei tahun lepas, Zuraidi bertindak meninggalkan Bersatu pula untuk menyertai PBM.

Pada PRU14 pada 19 Nov tahun lalu, Rodziah Ismal dari PKR memenangi kerusi Ampang dengan majoriti 29,681, menewaskan pesaingnya Zuraida (PBM), Ivone Low (MCA), Sasha Lyna (PN), Dr Nurul Ashikin (Pejuang), dan Bryan Lai (Warisan), serta tiga calon Bebas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.